Saman fitnah Syahredzan, Shafie Ngah selesai

Iklan
Syahredzan (dua dari kiri) bersama peguam-peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI]  Kes saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Ramai, Mohd Shafie Ngah berakhir, selepas penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes saman itu direkodkan Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu.

Syahredzan mendakwa pemimpin Pas berkenaan telah memfitnah pada satu program Perikatan Nasional (PN) pada dua tahun lalu, yang mengaitkannya dengan sokongan terhadap ideologi komunis.

Iklan
Iklan

Kenyataan tersebut didakwa dibuat pada 25 Oktober 2022, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta antara 8 hingga 12 Julai 2023, menjelang Pilihan Raya Negeri Selangor.

Syahredzan berkata, Mohd Shafie yang juga Yang Dipertua Pas Bangi bersetuju untuk tidak mengulangi kata-kata dakwaan fitnah dan memohon maaf seperti di laman media sosial.

Iklan

Berdasarkan kenyataan media di laman Facebook, Syahredzan berkata, kenyataan maaf berkenaan akan disiarkan di dua akhbar tempatan dan media sosial Mohd Shafie, PAS Bangi dan PN Bangi.

“Berdasarkan penyelesaian ini termasuk terma-terma penyelesaian yang dipatuhi sepenuhnya, maka sewajarnya tiada pertikaian peribadi antara saya dengan Mohd Shafie,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, berdasarkan permohonan maaf yang dimuat naik Mohd Shafie di laman Facebook pada Jumaat, pemimpin berkenaan mengakui semua dakwaan yang dibuat ialah tidak benar, tidak berasas dan tidak mempunyai merit.

Beliau berkata, kenyataan tersebut secara salahnya menyatakan atau menyebabkan pengertian bahawa Syahredzan bukan seorang Muslim yang jujur dan taat beragama serta menyokong ideologi komunis.

“Saya amat kesal membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut dan menyedari kecederaan serta kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tindakan-tindakan saya kepada Syahredzan.

“Sehubungan itu, saya menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat dan memberikan aku janji tanpa bersyarat untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan lanjut yang bersifat fitnah atau yang berkemungkinan memfitnah Syahredzan dalam apa jua bentuk atau cara,” katanya.

Beliau juga mengakui, Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Februari 2024, telah mengeluarkan injunksi interim yang menyekatnya daripada membuat kenyataan serupa atau bersifat fitnah terhadap Syahredzan.

Beliau mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan yang dilakukan dan komited untuk bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat serta berintegriti.