ALOR SETAR – Seorang anggota Tentera Darat parah apabila kaki kanannya putus selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah pikap di Jalan Pinang Jaya, di sini, pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata, mangsa berusia 33 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R1 dari arah Padang Kunyit menuju ke Jalan Bukit Pinang.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa telah terlanggar bahagian kiri hadapan pikap jenis Toyota Hilux yang membuat pusingan U secara tiba-tiba pada jam 2.30 petang
“Pemandu dipercayai berhenti di tepi jalan untuk membuang sampah sebelum membuat pusingan U tanpa berhati-hati. Ketika itu motosikal mangsa datang dari arah bertentangan lalu berlaku perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Syed Basri, akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah sehingga kaki kanan putus dari bahagian lutut.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
"Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pikap yang membuat pusingan U secara berbahaya. Siasatan awal juga mendapati pemandu pikap berusia 30 tahun itu tidak memiliki lesen memandu.
"Pemilik pikap akan disaman atas kesalahan membenarkan individu yang tidak mempunyai lesen memandu kenderaan miliknya," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.