KLANG – Sebanyak 30 tan abu al-Quran dan petikan ayat suci yang rosak berjaya dilupuskan di laut berdekatan Pulau Angsa semalam dalam satu program anjuran Karangkraf dengan kerjasama Polis Marin.
Wakil Pengarah Program Pemurniaan al-Quran, Nur Azmi Abd Halim, berkata inisiatif itu bertujuan memastikan naskhah al-Quran yang tidak lagi boleh digunakan diuruskan dengan cara tertib, beradab serta menepati hukum syarak.
“Pelupusan ini penting bagi menjaga kesucian al-Quran sentiasa terpelihara. Segala naskhah yang rosak dikumpulkan, dibakar, digiling menjadi abu sebelum dilupuskan di kawasan laut dalam,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Menurut beliau, persiapan pelupusan dilakukan beberapa bulan lebih awal, termasuk pengumpulan bahan bercetak, proses pembakaran, pengisaran dan penyediaan logistik.
Antara cabaran utama yang dihadapi ialah faktor cuaca, pasang surut air laut serta keperluan memastikan lokasi pelupusan jauh daripada aktiviti manusia.
Nur Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Polis Marin atas bantuan dan kerjasama sepanjang program berlangsung.
“Kami amat berterima kasih kepada Polis Marin Pelabuhan Klang yang menyediakan kapal, mengurus kawalan perjalanan dan memastikan proses pelupusan berjalan dengan lancar serta selamat.
"Terima kasih khusus kepada Insp Zamri Sa’an, Penolong Pegawai Pemerintah Kapal Ronda PT 2, Markas Operasi Polis Marin (MOPPM) Pelabuhan Klang, yang mengetuai operasi di laut,” ujarnya.
Tambah beliau, program ini lazimnya diadakan setahun sekali sebagai usaha berterusan memastikan setiap naskhah al-Quran lama atau rosak dapat dilupuskan dengan cara yang betul.
“Tiada angka khusus jumlah naskhah yang terlibat kerana ia bergantung kepada hasil kutipan, namun anggaran timbangan kali ini sekitar 30 tan,” katanya.
Karangkraf turut menyeru masyarakat supaya menyerahkan al-Quran lama, rosak atau tidak lagi digunakan kepada pihak berwajib agar ia dapat diurus dengan sempurna.