La Nina: NGO saran henti sementara projek pembangunan tanah di Cameron Highlands

Iklan
Reach mengges semua projek pembangunan berimpak tinggi di kawasan Cameron Highlands dihentikan sementara susulan kebimbangan berlakunya bencana tanah runtuh dan banjir lumpur ketika fenomena La Nina melanda. Gambar kecil: Dilip Martin

CAMERON HIGHLANDS - Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) menggesa agar semua projek pembangunan berimpak tinggi di kawasan itu dihentikan sementara susulan kebimbangan berlakunya bencana tanah runtuh dan banjir lumpur ketika fenomena La Nina melanda.

Presidennya, A Dilip Martin berkata, amaran awal fenomena La Nina yang dijangka bermula pada musim sejuk tahun ini sehingga awal 2026 perlu diberi perhatian serius kerana taburan hujan yang lebih tinggi daripada biasa berpotensi mengundang risiko besar terhadap keselamatan penduduk.

Iklan
Iklan

“Kami mohon supaya kerajaan negeri atau Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands memberhentikan sementara kerja-kerja penolakan tanah yang diluluskan. Kalau hujan turun tanpa henti, kawasan yang sedang berlaku penolakan tanah akan terdedah kepada banjir dan tanah runtuh.

Taburan hujan yang lebih tinggi daripada biasa ketika La Nina melanda berpotensi mengundang risiko besar terhadap keselamatan penduduk di Cameron Highlands.

Iklan

"Penduduklah yang akhirnya terjejas. Kita bimbang berlakunya banjir lumpur yang boleh menjejaskan keselamatan nyawa," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurut Dilip Martin, pemerhatian dilakukan Reach mendapati, ketika ini terdapat tiga projek mega pertanian dan perumahan yang dibangunkan di kawasan berisiko tinggi iaitu di Sungai Mensun, Tringkap selain di Ringlet.

Iklan

Katanya, projek-projek berkenaan mendapat kelulusan daripada agensi kerajaan, namun masih memerlukan penelitian agar selari dengan Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030 yang tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan berisiko tinggi.

"Hampir setiap tahun kita dipaparkan dengan kejadian monsun yang membawa risiko pokok tumbang, tanah runtuh dan banjir.

"Cameron Highlands sebagai kawasan tanah tinggi, sepatutnya kena lebih bersedia kerana sudah tentulah berdepan impak lebih serius," katanya.

Beliau turut mengingatkan lokasi-lokasi berisiko seperti Lembah Bertam, Kampung Raja, Tringkap dan Sungai Mensun pernah merekodkan kejadian tanah runtuh sebelum ini sehingga meragut nyawa penduduk disebabkan taburan hujan yang tinggi.

"Dalam hal ini, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat berbanding kepentingan pemaju," katanya.

Terdahulu, Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, tinjauan cuaca jangka panjang bagi September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) ketika ini berada pada tahap neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan sehingga Oktober depan.