KUALA LUMPUR - Kumpulan jenayah terancang yang ditumpaskan menerusi Ops Jack Sparrow pada 11 September lalu dipercayai turut terlibat dalam perebutan kawasan di beberapa negeri.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, antara sasaran kumpulan ini melibatkan kumpulan penjenayah lain dan juga orang awam.
"Kumpulan jenayah terancang ini dipercayai aktif terlibat dalam jenayah kekerasan, dadah, ugutan dan pelbagai kes jenayah lain di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
"Mereka ini dipercayai menyasarkan kumpulan-kumpulan penjenayah melibatkan perebutan kawasan serta individu-individu yang menjadi tempat untuk mereka mendapatkan habuan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya tidak dapat mendedahkan nama kumpulan yang ditumpaskan ini.
"Dalam istilah perundangan, kita hanya menyebut kumpulan jenayah terancang dan memang kita sedia maklum kumpulan yang terlibat.
"Buat masa ini, pihak polis tidak mahu mendedahkan nama kumpulan jenayah ini kerana usaha memburu saki baki ahli kumpulan ini sedang giat dijalankan," katanya.
Menurutnya, keseluruhan kumpulan ini dikenal pasti dianggotai seramai 33 individu.
"Seramai 17 individu telah ditahan, dan kita masih memburu enam lagi dipercayai untuk membantu siasatan dijalankan.
"Usaha memburu saki baki terlibat turut sama melibatkan beberapa negeri lain dan bukan tertumpu di Lembah Klang sahaja," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan satu kumpulan jenayah terancang yang aktif sejak 2023 ditumpaskan menerusi Ops Jack Sparrow hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada 11 September lalu.
INFO
- Kumpulan jenayah terancang dianggotai 33 individu dipercayai warga tempatan
- 17 individu ditahan berusia 19 hingga 44 tahun
- Aktif melakukan jenayah kekerasan, ugutan, dadah
- Dipercayai terlibat dalam kes serangan di Taman Sentosa, Klang