KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, dakwaan fitnah dibuat ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman menggambarkannya sebagai samseng Hollywood, ‘kaki botol’ dan ‘kaki perempuan’.
Abdul Kadir, 86, selaku saksi plaintif pertama berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Aliff Syukri, 39, di hadapan Hakim, Roslan Mat Nor.
Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata, hantaran yang dibuat penyanyi lagu raya kontroversi terbabit turut memberi impak negatif terhadap dirinya selaku seorang bekas veteran UMNO yang berkecimpung dalam arena politik selama 30 tahun.
Bekas Menteri Penerangan dari tahun 2004 hingga 2006 berkata, Aliff Syukri selaku defendan didakwa menyunting gambarnya, duduk di sebelah seorang penyanyi terkenal malah memaparkan segelas arak, dalam Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia yang dihadiri pada 23 Julai 2023.
“Saya tidak berhutang RM30 juta dengan defendan tapi dia mendasarkan tuntutan pada perjanjian usaha sama, satu perjanjian yang saya bukan pihaknya.
“Saya juga tidak pinjam wang itu sebaliknya menganggap ia sebagai pelaburan untuk projek mega,” katanya.
Sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen, beliau tidak pernah terhegeh-hegeh untuk meminjam wang sebaliknya telah melahirkan ahli perniagaan sehingga bergelar jutawan.
Beliau berkata, dakwaan fitnah itu mengambarkannya sebagai seorang orang tua yang menjijikkan.
Sedangkan katanya, beliau tidak lebih kepada orang lama yang mahu membantu ahli perniagaan baharu.
“Defendan tidak ada pengalaman untuk membangunkan projek mega meskipun beliau menguruskan pelbagai perniagaan.
“Bagaimanapun, saya bangga menyaksikan kejayaannya meskipun pempengaruh itu tidak berpendidikan tinggi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan peguam, Ravichandaran Selliah.
Dalam prosiding ini, Aliff Syukri tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguamnya, Zulfahmi Abu Bakar, Mohd Tajudin Abd Razak dan Shah Nurul Afzan Abdullah.
Prosiding bersambung Rabu.
Pada 6 September 2023, Abdul Kadir memfailkan saman dan menuntut ganti rugi RM70 juta daripada Aliff Syukri atas dakwaan memfitnah.
Abdul Kadir berkata, Aliff Syukri yang turut terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai dalam platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain, didakwa telah mengeluarkan kenyataan itu pada 2 Julai 2023.
Bekas menteri penerangan itu mendakwa, kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.
Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Defendan mendakwa, pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkannya dan segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif, di dalam pengetahuan sendiri.