Kartel tender Tentera Darat: SPRM reman 17 pengarah syarikat disyaki terlibat

Iklan
Seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari bermula pada Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.

PUTRAJAYA – Seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Iklan
Iklan

Menurut SPRM, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20-an hingga 60-an yang ditahan antara jam 8.30 hingga 11.30 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kesemua pengarah syarikat terbabit disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat Malaysia sebagai balasan untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan melibatkan TDM.

Iklan

“Penahanan tersebut dibuat hasil risikan berhubung kewujudan kartel yang dipercayai menguasai beberapa tender perolehan berkaitan Tentera Darat,” menurut kenyataan SPRM menerusi satu hantaran di platform TikTok pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan bahawa pada 27 Disember lalu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.

Sebelum ini juga, SPRM telah memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia sejak tahun 2023.

Sumber memaklumkan bahawa fokus siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut beliau, semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional berdasarkan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang.