Walaupun muflis, Abdul Kadir boleh teruskan saman Aliff Syukri RM70 juta

Iklan
Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memberitahu, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir boleh memberi keterangan dalam kes samannya terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman walaupun berstatus muflis.

Hakim, Roslan Mat Nor berkata, seseorang yang disahkan bankrap tidak dikecualikan daripada memberikan keterangan di mahkamah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Abdul Kadir, 86, selaku plaintif juga tidak dihalang daripada meneruskan saman itu walaupun termasuk sebagai individu yang tertakluk di bawah Akta Insolvensi 1967.

“Plaintif masih berhak walaupun tiada kebenaran atau ‘sanction’ diberikan oleh mahkamah,” katanya.

Iklan

Semasa prosiding, peguam, Zulfahmi Abu Bakar yang mewakili Aliff Syukri, 39, membangkitkan bahawa status muflis membabitkan bekas veteran UMNO menyebabkannya tidak layak untuk memberi keterangan selaku saksi.

“Plaintif sepatutnya mendapatkan ‘sanction’ terlebih dahulu sebelum memberi keterangan,” katanya yang hadir bersama dua lagi peguam, Mohd Tajudin Abd Razak dan Shah Nurul Afzan Abdullah.

Iklan

Bagaimanapun, peguam, Ravichandaran Selliah yang mewakili Abdul Kadir berkata, anak guam yang berkecimpung dalam arena politik selama 30 tahun itu boleh memulakan tindakan saman mengikut Seksyen 38 Akta Insolvensi.

“Tiada keperluan untuk mendapatkan ‘sanction’, malah berdasarkan kes-kes terdahulu, mahkamah telah membenarkan seseorang memberikan keterangan dan meneruskan tindakan saman.

“Oleh demikian, kami menghujahkan terdapat asas yang mencukupi untuk kes ini diteruskan sehingga akhir perbicaraan,” katanya yang hadir bersama peguam, T Dheenish.

Abdul Kadir, 86, yang memfailkan saman pada 6 September 2023 berkata, Aliff Syukri, 37, yang turut terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai dalam platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook miliknya pada 2 Julai 2023.

Bekas menteri penerangan itu mendakwa, kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.

Oleh itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Defendan mendakwa, pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan dan segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri.