Dokumen kerajaan dipalsukan, sindiket menyamar pegawai MBK perdaya pembekal

Iklan
MBK buat laporan polis susulan sindiket menyamar sebagai pegawai PBT untuk menipu pembekal melalui WhatsApp. Foto hiasan

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) membuat laporan polis susulan kegiatan penipuan menggunakan nama pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi tujuan memperdaya syarikat pembekal.

Ia berikutan aduan terdapat syarikat pembekal yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh individu menyamar sebagai wakil MBK untuk mendapatkan bekalan pejabat.

Iklan
Iklan

MBK dalam kenyataannya berkata, lebih membimbangkan apabila sindiket terbabit turut mengemukakan dokumen palsu termasuk Surat Lantikan Vendor Percubaan dan Pesanan Kerajaan (Local Order) dengan menggunakan cop serta tandatangan pegawai MBK yang dipalsukan.

“MBK tidak pernah melantik mana-mana individu atau pihak ketiga untuk menguruskan pembekalan barangan secara persendirian melalui WhatsApp atau nombor telefon peribadi.

Iklan

“Sebaliknya, semua urusan PBT ini hanya dijalankan melalui saluran rasmi iaitu surat rasmi berdaftar, e-mel rasmi atau sistem ePerolehan Kerajaan,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, MBK memandang serius perkara tersebut kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan imej pegawai dan organisasi, malah berisiko menyebabkan kerugian kepada pihak pembekal.

Iklan

“Kita telah mengambil tindakan dengan membuat laporan polis berhubung perkara ini dan menyerahkan semua bukti berkaitan untuk tindakan siasatan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, MBK menyarankan para pembekal supaya membuat pengesahan dengan PBT terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap arahan atau dokumen yang mencurigakan.

“Orang ramai khususnya para pembekal dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pihak yang menyamar sebagai pegawai MBK.

“Sekiranya terdapat sebarang keraguan, sila hubungi MBK di talian rasmi 09-5121555/666/617/619 untuk pengesahan lanjut,” jelas kenyataan itu.