Pahang perkasa SMAN setanding sekolah elit, rangka hala tuju baharu pendidikan agama

Iklan
Wan Rosdy (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Yayasan Pahang dengan Universiti Sains Islam Malaysia pada majlis Penutupan Bengkel Anjakan Paragidma Pendidikan di Putrajaya pada Khamis.

PUTRAJAYA - Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) akan terus diperkasa agar setanding dengan sekolah elit arus perdana melalui pelaksanaan anjakan paradigma pendidikan yang menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, SMAN tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.

Iklan
Iklan

"Pelajar-pelajar perlu diasuh agar mampu bersaing setara dengan pelajar terbaik dari sekolah-sekolah lain, manakala guru pula perlu terus diperkasa sebagai teras utama kejayaan pendidikan.

"Kerajaan negeri Pahang akan terus memberikan sokongan penuh kepada SMAN termasuk dalam aspek pembangunan profesional guru, kemudahan fizikal, kurikulum, perjawatan serta pelantikan tenaga pengajar yang berkualiti," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan SMAN di sini pada Khamis.

Bengkel anjuran Yayasan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Akademi Pahang 1st itu menghimpunkan hampir 70 peserta terdiri daripada pegawai JAIP, pengetua serta barisan pentadbir sekolah.

Iklan

Wan Rosdy

Penganjurannya merupakan langkah strategik dalam merangka hala tuju baharu pendidikan agama negeri.

Sebanyak lapan resolusi dirumuskan menerusi bengkel selama tiga hari itu antaranya adalah 100 peratus SMAN berada di kedudukan 30 terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Pahang pada 2031, mencapai 95 peratus tahap penguasaan kemahiran Bahasa Arab melalui International Benchmarking Test (IBT) dan 100 peratus pelajar mencapai tahap cemerlang elemen JERSI iaitu jasmani, emosi, rohani, sahsiah dan intelek bagi melahirkan generasi Rabbani.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, resolusi berkenaan perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang realistik.

"Resolusi itu boleh dilaksanakan di peringkat sekolah, sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st serta matlamat melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan daya saing tinggi.

"Kejayaan bengkel tersebut tidak harus diukur melalui dokumen semata-mata, sebaliknya melalui perubahan sebenar dalam kualiti pengajaran, peningkatan prestasi murid serta kecemerlangan sekolah secara berterusan.

"Kerajaan negeri Pahang akan terus memberikan sokongan penuh kepada SMAN termasuk dalam aspek pembangunan profesional guru, kemudahan fizikal, kurikulum, perjawatan serta pelantikan tenaga pengajar yang berkualiti," katanya.

Wan Rosdy (duduk di tengah) bergambar bersama peserta pada majlis Penutupan Bengkel Anjakan Paragidma Pendidikan.

Susulan itu katanya, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM75 juta setahun bagi belanja mengurus semua SMAN serta RM1.4 juta khusus bagi bayaran makan asrama sekolah di bawah seliaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

"Bagi tahun 2026 pula, sejumlah RM116.58 juta diperuntukkan untuk pengoperasian semua sekolah agama di seluruh Pahang, manakala RM17.4 juta disediakan untuk pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah agama bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

"Kerajaan negeri juga turut menaikkan elaun tambahan Guru al-Quran dan Fardhu Ain asrama serta Guru KAFA sebanyak RM100 seorang selain mengurangkan yuran persekolahan dan asrama sekolah agama bagi meringankan beban ibu bapa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh ekosistem pendidikan Islam melalui pemerkasaan institusi tahfiz, penubuhan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang di Cameron Highlands serta peruntukan RM20 juta bagi merealisasikan transformasi Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) kepada Universiti al-Quran.

"Dalam pada itu, saya juga mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian dan sokongan terhadap sekolah-sekolah menengah agama yang melaksanakan kurikulum kebangsaan, demi memastikan masa depan pendidikan Islam di Pahang terus cemerlang dan berdaya saing," katanya.