KUANTAN - Dua nelayan warga emas dari Balok di sini terpaksa mengeluarkan modal untuk membaiki enjin bot dan mengganti peralatan menangkap ikan yang hanyut selepas bot digunakan tenggelam akibat air pasang besar pada penghujung November tahun lalu.
Tuan Azan Tuan Mamat,60, mendakwa kerugian lebih RM5,000 akibat kejadian itu.
"Enjin bot kena baiki, alat GPS (sistem kedudukan sejagat) pukat, tong yang hanyut semua kena ganti baharu.
"Keadaan ini agak membebankan memandangkan nelayan kecil seperti saya masih tidak dapat turun ke laut lagi ekoran musim tengkujuh," katanya ketika ditemui pada Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Bersama Nelayan Kuantan di Kampung Pantai Pelindung di sini pada Jumaat.
Tuan Azan ialah antara lima penerima Bantuan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam LKIM sempena majlis itu.
Di sebalik kesulitan dialami, warga emas itu bersyukur apabila pihak LKIM prihatin dengan nasib dilaluinya.
"Alhamdulillah, bantuan yang diterima dapat meringankan beban terutama untuk persiapan persekolahan cucu dan anak saudara di bawah jagaan.
"Selain isteri, anak bongsu yang berada di universiti, saya turut tanggung dua cucu, tiga anak saudara dan adik ipar yang mengalami masalah penglihatan," katanya.
Tambahnya, untuk urusan baiki bot akan dilakukan berperingkat termasuk membeli baharu peralatan menangkap ikan yang hanyut.
"Harap semuanya dapat disiapkan supaya dapat segera ke laut sekiranya keadaan cuaca mengizinkan," katanya.
Seorang lagi nelayan, Othman Ismail juga menerima nasib sama apabila bot yang ditambat di Jeti Nelayan Balok turut tenggelam dalam kejadian air pasang itu.
Katanya, walaupun semua peralatan hanyut, dia bersyukur bot dan enjin masih boleh diselamatkan.
"Pada hari kejadian, hujan lebat berterusan menyebabkan air hujan memenuhi bot sebelum ia terbalik dan tenggelam.
"Sebagai nelayan kecil, saya memang hilang sumber pendapatan kerana tidak dapat ke laut sepanjang musim tengkujuh ini," katanya.
Dia juga mengakui terpaksa membaiki bot dan menggantikan peralatan secara berperingkat.
"Kalau hendak ganti semua serentak perlukan banyak wang," katanya yang turut menerima bantuan tabung kebajikan dan bencana itu.
Sementara itu, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, seramai 51 individu telah menerima manfaat Bantuan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam LKIM dengan jumlah keseluruhan lebih RM95,000 tahun lalu
Menurutnya, selain bantuan tabung kebajikan dan bencana kepada lima penerima, 36 ahli Persatuan Nelayan Kuantan (PNK) Zon A golongan B40 dari Kampung Pantai Pelindung di sini menerima sumbangan bakul makanan yang disediakan.
"Pada majlis ini, LKIM mengumumkan peruntukkan tambahan RM50,000 bagi naik taraf bangsal nelayan Kampung Beserah.
"Selain itu, turut diadakan majlis perasmian bangsal nelayan Kampung Pelindung Pantai yang siap dibina juga dengan kos RM50,000," katanya.