PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengulangi pendiriannya bahawa kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual secara suka sama suka perlu dilindungi, dibimbing serta dipulihkan dan bukannya dihukum semata-mata.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mereka harus diberi peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.
“Hal ini perlu dilihat dengan mengambil kira pembangunan diri kanak-kanak daripada segi emosi, kognitif, sosial dan sebagainya.
“Ini dapat membantu kanak-kanak menilai sendiri kesan sesuatu tindakan yang diambil,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan agar kanak-kanak perempuan turut dikenakan tindakan undang-undang.
Ini kerana, katanya, berdasarkan siasatan pihaknya hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri itu adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Jelas Nancy, fokus utama KPWKM berhubung isu ini adalah untuk memberi tumpuan kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka.
“Perundangan dan program sedia ada yang memberi penekanan kepada intervensi, perlindungan dan proses pemulihan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang adalah selaras dengan pendirian KPWKM ini.
“Sistem berperingkat menerusi pendekatan berbeza sama ada melibatkan pemulihan dalam komuniti mahupun melalui institusi kanak-kanak seperti asrama akhlak dan institusi pemulihan yang lain adalah untuk memastikan kanak-kanak menerima bimbingan dan sokongan sewajarnya di setiap tahap,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan individu dewasa memikul tanggungjawab utama untuk membimbing dan melindungi kanak-kanak serta tidak boleh sama sekali dalam apa jua bentuk mengeksploitasi mereka.
“Bagi kes yang dibuktikan mempunyai elemen eksploitasi atau penderaan terhadap kanak-kanak, kerajaan akan memastikan undang-undang dikuatkuasakan dengan tegas dan berkesan terhadap pelaku.
“Kenyataan dan pandangan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak tanpa asas yang kukuh mengenai sifat semula jadi kanak-kanak yang perlu dibimbing dan dilindungi ini boleh disalah erti atau menimbulkan kekeliruan masyarakat.
“Namun, kesepakatan dan kebersamaan antara semua pihak dalam menangani isu ini akan memastikan masa depan yang terbaik untuk kanak-kanak,” katanya.
Tambahnya, isu ini tidak boleh ditangani melalui peruntukan undang-undang semata-mata, tetapi memerlukan kesedaran yang lebih tinggi, pembentukan institusi keluarga yang kukuh serta pembangunan sahsiah dan jati diri masyarakat menerusi pembabitan dan kebersamaan komuniti.
“KPWKM komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua kanak-kanak,” katanya.