IPOH - Kerajaan dicadangkan untuk turut memberi pengecualian kepada sektor pekerjaan lain selain e-hailing yang memerlukan pengguna minyak petrol RON95 melebihi 300 liter sebulan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Seorang jurutera awam, Ahmad Syakirin Ibrahim, 51, berkata, terdapat sektor pekerjaan lain yang terpaksa keluar bekerja di tapak projek yang berada di negeri lain.
Menurutnya, penggunaan petrol sudah tentu melebihi 300 liter sebulan kerana jarak tempat kerja ke pejabat agak jauh.
“Saya bekerja dalam bidang pembinaan dan kerja ini memerlukan saya melakukan perjalanan berdasarkan projek yang kini berada di Kelantan dan Seremban, sementara pejabat di Puchong dan keluarga di Ipoh. Anak-anak pula ada yang belajar di IPT (institusi pengajian tinggi).
“Untuk kegunaan rasmi memang syarikat yang tampung tapi penggunaan sendiri dari Kuala Lumpur ke Ipoh atas tanggungan sendiri, begitu juga dengan faktor anak-anak belajar jauh, jadi dalam seminggu 300 liter boleh habis,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Syakirin berkata, disebabkan itu inisiatif BUDI95 ini diharap diteliti semula dari segi kriteria pengguna atau penerima manfaat bagi memastikan tiada yang tercicir.
Seorang jurugambar bebas, Muhammad Farhan Che Zafri, 36, berkata, bagi pekerja bebas sepertinya memerlukan penggunaan melebihi 300 liter sebulan kerana permintaan perkhidmatannya itu banyak di luar Perak.
Katanya, setiap bulan beliau bekerja lebih enam kali di luar Perak untuk mengambil gambar dan bertemu dengan pelanggan.
“Saya harap dapat dipertimbangkan supaya pekerja bebas seperti kami ini turut mendapat manfaat seperti e-hailing melebihi 300 liter minyak petrol RON95 sebulan.
“Kalau ikutkan pekerjaan macam saya memang perlu melakukan perjalanan pada masa dan lokasi yang tidak menentu. Bergantung pada permintaan klien. Ada masa jauh, kadangkala dekat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Pengangkutan Jalan Perak, Mustafar Rahadi berkata, inisiatif BUDI95 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi manfaat kepada golongan memerlukan selain mengurangkan ketirisan.
Bagaimanapun katanya, masih ada ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terutama bagi golongan yang terpaksa menggunakan lebih 300 liter bagi tujuan bekerja selain perkhidmatan e-hailing.
Menurutnya, sesi libat urus mungkin boleh dilaksanakan dengan rakyat serta pihak berkepentingan bagi memastikan BUDI95 benar-benar mencapai sasaran dikehendaki.
Dalam pada itu di GEORGE TOWN, seorang jurutera telekomunikasi, Mohd Faris Ahmad, 43, berkata, walaupun subsidi RON95 meringankan kos sara hidup, had maksimum sebanyak 300 liter petrol sebulan mungkin tidak mencukupi bagi pekerja seperti dirinya yang kerap dihantar bertugas ke pelbagai negeri.
“Saya bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi namun perlu menggunakan kenderaan sendiri.
“Kadangkala saya perlu pergi ke Perlis, Kedah, Johor dan sekali sekala ke Pantai Timur untuk lakukan pemasangan dan penyelenggaraan rangkaian. Dalam sebulan, jarak perjalanan boleh cecah lebih 3,000 kilometer.
“Dengan had 300 liter, saya rasa agak terbatas kerana jumlah itu habis dalam tempoh dua minggu sahaja. Selebihnya saya kena bayar harga pasaran penuh,” katanya.
Menurutnya, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan mekanisme tambahan bagi golongan pekerja lapangan yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan untuk melaksanakan tugas.
“Kalau ada sistem khas atau pengecualian untuk pekerja sektor tertentu, itu lebih adil dan membantu,” ujarnya.
Dia bagaimanapun tetap menghargai inisiatif kerajaan yang berusaha memastikan subsidi sampai kepada rakyat, namun berharap penambahbaikan akan dibuat agar semua golongan mendapat manfaat secara seimbang.