Pemandu kereta sewa minta kerajaan perinci jumlah subsidi

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai rakyat layak dapat subsidi RM95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95). Gambar kecil: Mohamad Sardon (kiri), Selvaraju

SEREMBAN – Pemandu kereta sewa berlesen yang turut dikategorikan sebagai pemandu e-hailing meminta kerajaan memperincikan pemberian subsidi petrol di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada kumpulan terbabit.

Seorang pemandu, Mohamad Sardon Hassan, 60, berkata, pengumuman kerajaan hanya memaklumkan mereka boleh memohon jumlah subsidi lebih tinggi, namun tidak menyatakan secara jelas kuota yang layak diterima.

Iklan
Iklan

“Kami dalam kumpulan WhatsApp pemandu teksi sudah diuar-uarkan lebih awal. Minggu lepas saya pergi ke stesen minyak untuk buat permohonan.

“Pekerja stesen minyak membantu saya isi borang secara dalam talian dan saya terus menerima surat kelayakan membeli petrol bersubsidi sebanyak 800 liter sebulan berkuat kuasa 1 Oktober ini yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN),” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya diminta menunggu fleet card subsidi yang akan dihantar melalui pos ke alamat rumah.

Namun, Mohamad Sardon musykil mengapa kerajaan tidak terus mengumumkan jumlah subsidi tersebut sedangkan perkara itu sudah dinyatakan dalam surat kelayakan permohonan.

Iklan

Seorang lagi pemandu, P Selvaraju, 62, berkata, beliau turut mengetahui mengenai pemberian subsidi itu lebih awal, namun masih belum berkesempatan memohon.

“Saya dengar daripada kawan-kawan yang beritahu boleh mohon di mana-mana stesen minyak.

“Tapi jumlah subsidi tidak dinyatakan. Hari ini saya tahu daripada seorang kawan bahawa dia layak menerima 800 liter petrol subsidi sebulan,” katanya.

Jelasnya, subsidi itu amat membantu meringankan beban terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat ditambah dengan pendapatan mereka yang tidak menentu.