Pengecualian had iktiraf pekerja gig

Iklan
Pengecualian berkenaan memberi manfaat besar kepada lebih 200,000 pemandu e-hailing di seluruh negara. Foto hiasan (Gambar kecil: Jose Rizal)

SHAH ALAM – Pengecualian had subsidi 300 liter kepada pemandu e-hailing di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai penanda aras pengiktirafan rasmi terhadap suara pekerja gig di peringkat nasional.

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin atau Jose Rizal berkata, langkah itu bukan sahaja melegakan beban harian pemandu, malah membuktikan kerajaan prihatin dengan realiti kos operasi tinggi dalam sektor e-hailing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengecualian berkenaan memberi manfaat besar kepada lebih 200,000 pemandu e-hailing di seluruh negara yang setiap hari berdepan kos bahan api sebagai komponen utama pekerjaan mereka.

“Dengan fleksibiliti memohon subsidi lebih tinggi mengikut keperluan, pemandu e-hailing akan lebih terbela daripada tekanan kos sara hidup.

Iklan

“Keputusan itu juga memberi ruang kepada pekerja gig sektor pengangkutan untuk terus berkhidmat dengan lebih berdaya saing dan mampan, sambil menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan GEM berharap mekanisme pelaksanaan subsidi berkenaan dapat dilakukan secara telus, mudah diakses dan benar-benar sampai kepada semua pemandu tanpa birokrasi membebankan.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM), Haris Fadillah Arsyad menyifatkan inisiatif itu sebagai satu penghargaan serta pengiktirafan kepada sumbangan pekerja gig dalam ekonomi negara.

“Pengecualian daripada had 300 liter sebulan membuktikan kerajaan benar-benar prihatin terhadap beban kos yang ditanggung penggiat industri terbabit,” katanya.

Haris Fadillah menambah, langkah kerajaan itu memberi kelegaan besar kepada rakan penghantar di seluruh negara memandangkan penggunaan petrol pemandu e-hailing jauh lebih tinggi berbanding pengguna biasa.

Katanya, kemudahan memohon jumlah liter lebih besar akan memberi kesan langsung terhadap peningkatan pendapatan bersih.

“Selain itu, ia turut memastikan kesinambungan perkhidmatan penghantaran dan e-hailing terus berjalan lancar demi memenuhi keperluan rakyat,” jelasnya.

Lebih penting, katanya, pengecualian had liter bagi pemandu e-hailing jelas menunjukkan kerajaan memahami realiti kos operasi yang ditanggung mereka.