ALOR SETAR – Golongan pesawah menyuarakan harapan agar kerajaan mempertimbangkan semula kadar harga lantai padi dalam pembentangan Belanjawan 2026 bulan depan.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menegaskan bahawa harga lantai semasa sebanyak RM1,500 per metrik tan tidak lagi mencukupi untuk menampung kos pengeluaran yang semakin meningkat, sekali gus menjejaskan pendapatan pesawah.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, berdasarkan kajian semasa, kos mengusahakan sawah kini mencecah sekitar RM5,500 bagi setiap hektar, menjadikan kos pengeluaran bagi satu metrik tan padi sekitar RM1,500.
“Dengan harga lantai yang hanya menyamai kos pengeluaran, pesawah tidak memperoleh sebarang keuntungan. Ini amat membebankan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu menanggung keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, PeSAWAH mencadangkan agar harga lantai dinaikkan kepada RM1,800 per metrik tan sebagai langkah realistik untuk mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi pesawah.
“Langkah ini bukan semata-mata untuk membantu golongan B40, tetapi untuk memastikan kelangsungan sektor padi negara. Jika pesawah terus tertekan, ia akan menjejaskan pengeluaran dan sekuriti makanan negara,” ujarnya.
Tambah Abdul Rashid, kerajaan juga perlu meneliti semula struktur kos pengeluaran yang ditanggung pesawah, termasuk harga input pertanian dan bahan api, yang semakin meningkat sejak subsidi diesel ditarik balik.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan perlindungan sosial yang memadai, termasuk insurans dan kemudahan kesihatan, meskipun pesawah merupakan antara penyumbang utama kepada sekuriti makanan negara.
Katanya, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan penubuhan skim insurans khas untuk pesawah yang berdepan pelbagai risiko.
Katanya, terdapat beberapa kes kesihatan pesawah terjejas akibat keracunan dan kemalangan di sawah yang direkodkan dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.
“Kalau tiada jaminan pendapatan dan kebajikan yang stabil, anak muda akan lari dari sawah. Kita perlukan dasar yang bukan sahaja bantu pesawah sedia ada, tetapi tarik generasi baharu,” katanya.
Sementara itu, pesawah dari Jitra, Mohd Helmi Abu Hanafiah, 49, berkata, kenaikan harga lantai amat diperlukan memandangkan risiko kerugian semakin tinggi jika tanaman tidak menjadi.
“Kalau harga lantai kekal rendah, kami hanya mampu bertahan, bukan berkembang,” katanya.
Beliau turut menyambut baik cadangan PeSAWAH agar kerajaan memperkenalkan skim perlindungan sosial khas untuk pesawah, termasuk insurans kemalangan dan kesihatan asas.
Bagi petani muda dari Alor Setar, Aswadil Khairi Che Omar, 41, yang juga Pengerusi Kumpulan Peladang Muda PPK MADA, isu harga lantai bukan sahaja berkait keuntungan, tetapi juga motivasi anak muda untuk kekal dalam sektor pertanian.