RMK13: Kerajaan fokus kurangkan jurang pembangunan antara negeri

Iklan
Amir Hamzah (tengah) Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke 13 Zon Utara di sini, pada Selasa.

GEORGE TOWN - Kerajaan memberi fokus untuk mengurangkan jurang pembangunan antara negeri melalui perbelanjaan pembangunan yang seimbang serta pakej insentif pelaburan baharu dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memastikan peruntukan pembangunan diagihkan ke semua negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Iklan
Iklan

"Dari segi penarikan pelaburan, kerajaan menyediakan insentif baharu khusus kepada syarikat yang melabur dalam sektor penting negara, terutama jika pelaburan itu ditempatkan di wilayah kurang membangun.

"Langkah ini diyakini dapat mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah," katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 Zon Utara di sini, pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Amir Hamzah menjelaskan pakej insentif baharu itu akan menyatukan semua galakan pelaburan yang sebelum ini disalurkan melalui pelbagai agensi antaranya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Katanya, langkah itu bertujuan menggabungkan kesemua pakej insentif dalam satu kerangka kerja yang mudah difahami bagi membolehkan pelabur melihat Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan.

Iklan

"Dengan kerangka ini, pelabur akan lebih jelas tentang hala tuju Malaysia, industri yang diberi penekanan serta insentif tambahan sekiranya pembangunan ditempatkan di lokasi yang dikehendaki kerajaan.

"Ia juga memberi tumpuan kepada industri baharu yang penting bagi mempelbagaikan ekonomi negara," katanya lagi.

Mengulas mengenai Pulau Pinang, Amir Hamzah menegaskan tiada pengurangan peruntukan khusus kerana agihan telah ditetapkan di bawah RMK13 dengan jumlah keseluruhan RM611 bilion.

"Daripada jumlah itu, RM430 bilion datang daripada kerajaan pusat, RM120 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan bakinya melalui kerjasama awam-swasta (PPP).

"Setiap negeri akan dibincangkan dalam program Rolling Plan 1 (RP1) untuk tahun 2026 dengan penekanan infrastruktur seimbang, khususnya di negeri yang kurang membangun,” katanya.