KELANTAN Red Warrior FC (KRWFC) memperhebatkan latihan intensif dengan penekanan kepada penyudah menjelang pertemuan Liga A1 Semi Pro 2025/26 menentang Selangor FC II di Stadium Mini UPM pada Khamis dalam misi menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan.
Ketua Jurulatih KRWFC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui persembahan pasukan tidak mengecewakan, namun kegagalan memiliki penjaring berbisa menjadi punca utama kemarau kemenangan selepas mengutip hanya dua mata hasil dua keputusan seri menentang UM Damansara dan Seoul Phoenix, selain tewas kepada Kedah FA.
“Pemain tidaklah bermain buruk, mereka beraksi cukup baik tetapi masalah utama ialah penjaring.
“Kami tiada pemain yang boleh menjaringkan gol, jadi sesi latihan yang kami jalankan memberi tumpuan penuh untuk jaringan gol,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, selain aspek penyudah, pemain turut diberi penekanan terhadap kekuatan mental dan fizikal bagi menghadapi cabaran perlawanan petang yang pertama musim ini, sekali gus mengelak tekanan yang sebelum ini menjejaskan prestasi pasukan.
“Setiap kali ada cabaran, kami tidak menang, bukan soal teknikal, tetapi lebih kepada kegagalan menghadapi tekanan.
“Pemain kena bersedia melakukan kerja keras sebelum turun beraksi di Stadium Mini UPM Serdang,” ujarnya.
KRWFC kini menduduki kelompok pertengahan carta Liga A1 Semi Pro dengan dua mata.
Kemenangan ke atas Selangor FC II dijangka menjadi pemangkin kebangkitan pasukan yang bertekad membawa pulang tiga mata penuh bagi menghidupkan semula peluang ke pusingan seterusnya.