KUALA LUMPUR – Rata-rata warga Indonesia meluahkan rasa kagum dan tidak kurang juga cemburu terhadap langkah Malaysia menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025.
Keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 16 juta rakyat Malaysia dengan had pembelian 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing boleh memohon kuota lebih tinggi.
Menurut laporan portal berita republik itu, Kumparan, harga baharu itu bersamaan kira-kira Rp7,880 seliter berdasarkan kadar tukaran Rp3,960 setiap RM1. Warga asing pula dikenakan harga lebih tinggi iaitu RM2.60 seliter atau sekitar Rp10,296.
Langkah ini dianggap sebahagian daripada strategi kerajaan Malaysia untuk mengurangkan defisit fiskal melalui pelaksanaan subsidi bersasar tanpa membebankan rakyat.
Pengguna X, Parewa@jakesvarna menulis bahawa walaupun harga diturunkan, kerajaan Malaysia tetap memperoleh keuntungan. Beliau membandingkan dengan Indonesia yang menurutnya sejak zaman Soeharto, harga minyak masih membebankan rakyat.
Bagi AF@Eddoy, harga minyak di Malaysia lebih adil kerana seragam di semua stesen, sama ada Petronas, Shell mahupun BP. Katanya, keadaan itu membuktikan syarikat asing juga boleh menjual pada harga rendah jika dibenarkan.
Abah Anom@NorPujiansyah pula kagum kerana Malaysia bukan pengeluar minyak, namun masih mampu menjual pada harga rendah. Beliau menegaskan, pemimpin Malaysia benar-benar mengutamakan rakyat dan bebas daripada rasuah.
Reaksi serupa dikongsi Jürgenita Indonesia@Mr_WhiteCurry yang menyifatkan harga Ron95 sekitar Rp7,000 sangat murah, apatah lagi dijual oleh Petronas yang menjadi penaja rasmi Formula Satu.
Namun ada juga suara sinis apabila Julie@apatheianism mendakwa langkah Malaysia menurunkan harga minyak seolah-olah satu sindiran kepada pemerintah Indonesia.
Sementara itu, Noshinku@lomohero mengingatkan bahawa walaupun harga petrol di Malaysia lebih murah, rakyat tetap dihadkan pembelian sebanyak 300 liter sebulan demi memastikan sistem lebih adil dan terkawal.
Secara keseluruhannya, pengumuman Malaysia menurunkan harga petrol bukan sahaja melegakan rakyatnya, malah turut mencetuskan perbincangan hangat di Indonesia yang rata-rata kagum dengan keberanian kerajaan jiran menjaga kesejahteraan rakyat.