Dua anggota polis ditahan terbabit kes pemerasan

Iklan
Dua anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia di rumahnya dekat Kampung Asam Jawa, pada Jumaat. Gambar hiasan

BALING - Dua anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia di rumahnya dekat Kampung Asam Jawa, di sini, pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali berkata, kejadian itu dilaporkan ibu mangsa berusia 74 tahun selepas anak lelakinya yang berusia 32 tahun pulang dan memberitahu telah ditahan polis, di mana telefon bimbitnya dirampas oleh dua anggota yang menuntut wang RM200 bagi menebus semula peranti tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika mereka berdua mahu menyerahkan wang itu, lelaki berkenaan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Parit Panjang.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan tiada unsur jenayah.

Iklan

"Bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah mengesahkan punca kematian adalah serangan jantung mendadak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan menahan dua anggota polis terbabit berusia 24 dan 27 tahun bagi membantu siasatan.

Iklan

“Semakan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah, manakala ujian air kencing mereka juga negatif.

"Permohonan reman dibenarkan selama dua hari sehingga Isnin,” katanya.

Ahmad Salimi berkata, siasatan tatatertib turut dibuka terhadap kedua-dua anggota terbabit, selain memberi jaminan pihaknya memandang serius insiden itu dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, sebuah portal media melaporkan seorang lelaki meninggal dunia sebelum sempat menyerahkan wang RM200 kepada dua anggota polis bagi menebus telefon bimbitnya yang dikatakan dirampas anggota berkenaan.