BUDI95: Kuota 300 liter perlu dikaji ikut keperluan semasa - AMK Johor

Iklan
Faezuddin.

JOHOR BAHRU – Kuota 300 liter subsidi bersasar petrol RON95 bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diberikan kepada warganegara perlu dikaji secara berkala agar terus relevan dengan keperluan semasa.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, langkah itu termasuk mengambil kira faktor inflasi dan kos sara hidup yang meningkat.

Iklan
Iklan

Jelasnya, tindakan itu penting bagi memastikan sistem subsidi bersasar tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja.

"Penyelarasan subsidi petrol RON95 yang dilaksanakan kerajaan penting untuk mengurangkan ketirisan yang selama ini banyak dinikmati oleh warga asing.

Iklan

“Langkah beralih kepada sistem subsidi bersasar, kewangan kerajaan yang dijimatkan dapat disalurkan semula kepada program kebajikan dan pembangunan yang lebih memerlukan, seperti bantuan tunai langsung, menaik taraf pengangkutan awam, fasiliti kesihatan serta pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ketua Cabang PKR Pulai itu juga yakin penyelarasan subsidi tersebut akan memberi impak positif dalam jangka panjang kepada ekonomi negara.

Iklan

Selain itu, ujarnya, langkah berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Madani mengurus kewangan negara dengan telus serta berhemat demi kesejahteraan rakyat.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program BUDI95.

Menurut beliau, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia, manakala bukan warganegara perlu membayar pada kadar RM2.60 seliter.