KUALA TERENGGANU – Kebocoran paip gas di tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kemasik, Kemaman tidak menjejaskan kerja-kerja pembinaan projek infrastruktur mega itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja-kerja pembersihan sisa gas sedang giat dijalankan dengan pemantauan rapi oleh beberapa agensi berkaitan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa insiden tersebut tidak akan menjejaskan jadual pembinaan ECRL yang kini secara keseluruhan telah mencatatkan kemajuan 87 peratus.
“Saya rasa tidak (menjejaskan projek ECRL), kerana biasanya apabila saluran paip gas bocor, ia tidak meletup. Jadi, kes ini tidak sama dengan kejadian di Putra Heights, ia berbeza.
“Walaupun berlaku kebocoran, tindakan segera telah diambil semalam untuk menutup bekalan. Kebocoran itu kini sedang dibaiki dan kerja-kerja pembaikan dijalankan serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas.My Kuala Terengganu Pasar Payang, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas lanjut mengenai kerja-kerja pembaikan paip gas tersebut, Anthony berkata, hanya Petronas yang boleh menentukan tempoh siap pembaikan kerana ia melibatkan aset milik syarikat itu.
“Siasatan sedang dijalankan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan agensi-agensi lain.
“Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah mengemukakan laporan awal kepada saya, manakala Petronas akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera. Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa walaupun berdepan beberapa kekangan, proses pembinaan ECRL masih berjalan mengikut perancangan.
“Segmen di Terengganu antara yang paling cepat kerana isu tanah telah diselesaikan lebih awal dan keadaan geografi yang rata memudahkan kerja-kerja pembinaan.
“Bahagian yang masih mencabar adalah dari Bentong ke Gombak, khususnya di kawasan Terowong Genting. Di Kelantan dan Terengganu, kebanyakan proses pembinaan hampir siap,” jelasnya.
Anthony turut mendedahkan isu kecurian kabel yang berlaku di beberapa lokasi pembinaan ECRL sehingga menjejaskan kelancaran kerja pemasangan.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil kerana jenayah tersebut menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan mengganggu ketenteraman awam.
“Sudah lebih satu kilometer kabel dicuri. Walaupun ECRL belum beroperasi, ada bahagian trek yang melibatkan ‘live track’, dan apabila kabel dicuri, tren tidak boleh bergerak.
“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis supaya tindakan lebih agresif diambil, termasuk menggunakan peruntukan undang-undang yang lebih tegas,” katanya.
Pada Sabtu lalu, paip gas Butana milik Petronas Gas Berhad dilaporkan bocor sehingga menyebabkan laluan utama Kerteh–Ranggon ditutup kepada semua kenderaan.