JBPM gerak 24,000 anggota ke seluruh negara hadapi MTL

Iklan
Nor Hisham (tengah) menerima cenderamata sempena Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama JBPM di Hutan Lipur Sekayu di Hulu Terengganu pada Ahad.

HULU TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan seramai 24,000 anggota ke seluruh negara sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, kekuatan itu melibatkan anggota sepenuh masa, Bomba Bantuan serta hampir 9,000 anggota Bomba Sukarela.

Iklan
Iklan

“Persiapan awal telah dimulakan dan tahun ini kita memperkukuh keupayaan respons pasukan.

“Seramai 24,000 anggota dikenal pasti boleh digerakkan, termasuk 2,315 Bomba Bantuan dan 8,956 Bomba Sukarela,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama JBPM di Hutan Lipur Sekayu, di sini pada Ahad.

Iklan

Peserta Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama JBPM di Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu merakam gambar bersama Nor Hisyam sempena majlis penutup yang diadakan pada Ahad.

Menurut beliau, sebanyak 150 bot komuniti baharu telah diagihkan ke lokasi berisiko banjir bagi membolehkan penduduk setempat bertindak segera sebelum pasukan penyelamat tiba di kawasan terjejas.

Iklan

“Bot komuniti ini dilengkapi enjin 15 kuasa kuda bersaiz 14 kaki, sesuai untuk operasi di kawasan banjir bandar yang cetek dan sempit.

“Usaha ini dapat mengurangkan cabaran logistik serta mempercepatkan operasi menyelamat,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, JBPM turut memiliki aset tambahan termasuk 450 kenderaan marin, 417 kenderaan angkut roda ringan dan 119 kenderaan angkut berat.

“Kerajaan juga telah meluluskan perolehan 200 kenderaan baharu termasuk kenderaan penarik bot dan light operation vehicle yang dijangka mula dibekalkan pada awal tahun depan.

“Dengan perolehan ini, kesiapsiagaan JBPM dijangka lebih mantap khususnya apabila fenomena La Niña diramalkan berlaku pada hujung Disember hingga awal Januari nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham turut merakamkan penghargaan kepada JBPM Sabah dan agensi penyelamat lain yang berjaya menangani insiden banjir serta tanah runtuh di enam daerah di negeri berkenaan baru-baru ini.

“Kerjasama pantas termasuk penggerakan jentera berat di lapangan amat penting bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar dan risiko runtuhan dapat dielakkan,” ujarnya.