KUALA KEDAH - Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran meloloskan diri di perairan Kuala Sungai Dedap, Yan pada Sabtu.
Bot berkenaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti perikanan haram dikesan sekitar jam 11.30 pagi ketika rondaan rutin dijalankan menerusi operasi bersepadu Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Patkor Optima Malindo Siri 32/2025.
Iklan
Iklan
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kru bot terbabit bertindak melarikan diri ke arah daratan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun berjaya dipintas tidak lama kemudian.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut beroperasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perikanan 1985. Turut ditemui 48 unit bubu naga yang diharamkan penggunaannya kerana berpotensi merosakkan ekosistem marin serta mengancam populasi hidupan laut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, seorang kru tempatan berusia 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan, manakala bot bersama peralatan yang dianggarkan bernilai RM112,000 telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) dan Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan bot tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan," katanya.
Jelas Noor Azreyanti, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi mengaut keuntungan sehingga menjejaskan kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.