PAPAR - Hasrat seorang lelaki untuk bertemu isterinya di Labuan tidak kesampaian selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Limbahau di sini pada pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Beluran ke Labuan dengan menaiki motosikal tersebut.
"Siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya bertemu dengan isterinya namun sebaik tiba di lokasi motosikal ditunggang terbabas sendiri.
"Akibat kemalangan ini, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Heryan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk pemeriksaan teknikal di lokasi, penyediaan lakaran rajah, rakaman percakapan saksi bebas serta penelitian faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kejadian ini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor EL Najeeb Abdul Rahman di talian 016-8813880 atau hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Papar," katanya.
Heryan dalam pada itu turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi had laju yang ditetapkan.
"Penunggang motosikal juga harus memastikan penggunaan topi keledar sempurna bagi mengurangkan risiko kecederaan serius," katanya.