KUALA TERENGGANU – Waris kepada pempengaruh dan usahawan kosmetik yang didakwa terlibat aktiviti pengedaran dadah menuntut pelbagai aset termasuk kenderaan mewah, barang kemas dan wang tunai dengan anggaran keseluruhan lebih RM900,000.
Tuntutan terhadap harta Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, atau lebih dikenali dengan gelaran 'Man Hidung' itu dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad.
Harta tersebut disita setelah tertuduh didakwa terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.
Antara harta disenaraikan ialah sebuah Toyota Alphard bernilai RM450,000, Mini Cooper Countryman (RM120,000) dan Range Rover (RM350,000).
Selain itu, wang tunai berjumlah RM7,700 serta pelbagai barangan kemas termasuk gelang dan rantai bernilai keseluruhan lebih RM54,000.
Aset berkenaan disita hasil operasi pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada 28 dan 29 April lalu.
Hakim Nazlyza Mohd Nazri menetapkan 9 November depan bagi sebutan semula kes tersebut.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad dan tertuduh diwakili peguam Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.
Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini pada Ahad menetapkan 19 Oktober depan sebagai tarikh izin dakwa terhadap tertuduh yang berdepan pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram (kg).
Keputusan dibuat Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh perbicaraan selepas memperoleh laporan kimia.
Mengikut pertuduhan sebelum ini, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 1.015 kg.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di tingkat niaga Paya Keladi di sini, jam 8.40 malam pada 28 April lalu.
Pendakwaan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.
Media sebelum ini melaporkan seorang peniaga kosmetik ditahan bersama dadah yang dianggarkan seberat 1.02 kg membabitkan rampasan keseluruhan termasuk aset bernilai lebih RM1 juta.