Krishnan Tan perjelas tidak terbabit pengurusan harian IJM

Iklan
Kenyataan dikeluarkan IJM pada Ahad turut memberikan jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa operasi peniagaan mereka tidak terjejas susulan siasatan yang sedang dijalankan. Gambar kecil: Krishnan

SHAH ALAM - Tan Sri Krishnan Tan pada Ahad tampil menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam operasi harian IJM Corporation Bhd (IJM), susulan laporan media mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya.

Dalam satu kenyataan peribadi, beliau menyatakan hanya berkhidmat sebagai pengerusi bukan eksekutif di syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya adalah Pengerusi Bukan Eksekutif IJM Corporation Bhd dan saya tidak terlibat dalam operasi harian dan pengurusan syarikat itu,” katanya.

Dalam pada itu, Krishnan turut menyatakan kesediaannya untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Iklan

“Saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan akan terus berbuat demikian. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap proses penguatkuasaan dan undang-undang negara.

“Pada ketika ini, adalah tidak wajar untuk saya mengulas lanjut kerana siasatan sedang berjalan,” jelas beliau.

Iklan

Pada Jumaat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengerusi Syarikat IJM Corporation Berhad bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu telah ditahan kira-kira jam 7 petang, Khamis di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas kediaman beliau dibongkar.

Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) telah menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 billion di luar negara dan potensi elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Sehubungan itu, SPRM telah membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah kira-kira RM30.6 juta.

Tambah sumber, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram dan setakat ini pihaknya telah memanggil 15 orang saksi termasuk isteri suspek untuk dirakam percakapan.

Sementara itu IJM dalam kenyataan berasingan memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaannya tidak terjejas susulan siasatan yang sedang dijalankan.

“Lembaga Pengarah ingin memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaan syarikat diteruskan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

“Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan kekal fokus terhadap kesinambungan perniagaan, mengekalkan keyakinan pelanggan dan rakan niaga serta menegakkan piawaian tadbir urus korporat dan pematuhan yang tinggi,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu turut menyatakan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, memberikan maklum balas segera terhadap semua permintaan dan menyediakan semua maklumat dan kakitangan berkaitan bagi memudahkan siasatan.

“IJM telah mewujudkan prosedur yang mencukupi dan mengekalkan rangka kerja tadbir urus yang kukuh, termasuk pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah yang diperakui mengikut ISO 37001:2025,” tambahnya lagi.

Syarikat berkenaan turut menjelaskan pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang ulasan lanjut berhubung isu berkenaan buat masa ini kerana ia masih dalam siasatan.

“Syarikat akan memaklumkan perkembangan selanjutnya sekiranya perlu dan selaras dengan keperluan undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.