GEORGE TOWN – Kebakaran hutan seluas kira-kira 0.4 hektar yang berlaku di kawasan kaki Bukit Bendera, Jalan Air Itam di sini pada Ahad berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.41 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan kawasan hutan di lereng bukit dan memerlukan tindakan pantas bagi mengelakkan api daripada merebak lebih luas.
“Sejurus tiba, pasukan bomba melakukan penilaian awal (size up) dengan kelengkapan perlindungan diri lengkap sebelum memulakan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.
“Pasukan turut membina ‘fire break’ bagi menyekat api merebak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.46 petang dengan bantuan beberapa balai bomba berhampiran serta penglibatan pasukan bomba sukarela (PBS) bagi mempercepatkan operasi pemadaman.
"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan peralatan seperti 'fire beater', 'jet shooter' serta kaedah serangan terus (direct attack) melalui teknik 'relay pumping'.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.05 malam sebelum kerja-kerja 'overhaul' dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula," ujarnya.
Tambah beliau, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 malam setelah keadaan di lokasi disahkan selamat.
"Operasi melibatkan l25 anggota termasuk ketua balai dalam operasi membabitkan beberapa jentera dari BBP Paya Terubong, BBP Jalan Lebuh Pantai, BBP Paya Seri Balik Pulau dan BBP Bayan Baru.
"PBS Bukit Bendera, Mount Eskine dan Paya Terubong turut membantu operasi tersebut. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kejadian tidak melibatkan sebarang bantuan daripada agensi luar," katanya lagi.