KUALA LUMPUR – Menawarkan khidmat pelacuran pada kadar RM200 di kaki lima sekitar kawasan Bukit Bintang di sini sebelum pelanggan dibawa ke hotel bajet berhampiran atau ke lokasi peribadi pelanggan antara taktik yang dibongkar menerusi serbuan polis pada Ahad.
Kegiatan yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu itu menyasarkan pelanggan yang datang berhibur di sekitar kawasan tumpuan pelancong berkenaan.
Serbuan kira-kira jam 2 pagi itu dijalankan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) bersama Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kuala Lumpur.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, kegiatan tersebut dikesan selepas risikan dijalankan selama dua minggu.
Menurut kenyataan itu, individu terbabit dikesan menawarkan perkhidmatan seks di kaki lima kawasan hiburan sebelum membawa pelanggan ke hotel bajet sekitar kawasan berkenaan atau ke lokasi pilihan pelanggan.
"Jika pelanggan bersetuju dengan harga yang ditawarkan, mereka akan memilih hotel bajet sekitar kawasan berkenaan atau mengikut pelanggan ke lokasi peribadi pelanggan tersebut.
"Individu terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong sebelum menjalankan aktiviti tidak bermoral sebagai sumber pendapatan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Menurut JSJ Kuala Lumpur, siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dijalankan secara solo dan tidak dilindungi mana-mana sindiket.
Katanya, hasil operasi berjaya menahan seramai 11 wanita warga asing terdiri daripada Ghana, Uganda dan Nigeria.
"Kesemua wanita yang ditahan dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.
"Turut dirampas kondom yang disyaki digunakan bagi tujuan aktiviti tidak bermoral,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan pelacuran warga asing khususnya di kawasan tumpuan pelancong sekitar ibu negara.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.