Rakyat perlu hargai usaha kerajaan Sabah dan seluruh jentera bantu mangsa banjir, tanah runtuh-PM

Iklan
Anwar (tiga dari kanan) bersama Hajiji (dua dari kanan) ketika melawat mangsa banjir di PPS di Penampang pada Jumaat. Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat menghargai usaha ketua menteri, kerajaan negeri dan seluruh jentera yang bekerja keras serta bertungkus-lumus dalam meringankan beban mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama jentera Persekutuan telah menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu rakyat, termasuk para petugas yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Iklan
Iklan

"Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada semua jentera Persekutuan dan negeri yang telah mengambil berat. Dalam pertemuan saya dengan penduduk di PPS, saya dapati mereka bangga dengan persiapan dan pengorbanan semua staf termasuk kakitangan Sabah Electricity yang bertungkus-lumus membantu.

"Saya hanya ingin menekankan betapa pentingnya kita menghargai ketua menteri, kerajaan negeri dan keseluruhan jentera sama ada di peringkat atas mahupun bawah yang bertugas meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan tanah runtuh yang berlaku di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau sebelum itu turut melawat beberapa lokasi tanah runtuh dan PPS di sekitar Penampang, dengan diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan akan bekerjasama rapat bagi menyelaras semua keperluan pasca banjir.

Iklan

"Insya-ALLAH, kerajaan negeri akan selaraskan dengan Persekutuan untuk meneliti keperluan sama ada di bawah tanggungan negeri atau tanggungan Persekutuan," katanya.

Terdahulu, Sabah dilanda banjir dan tanah runtuh berikutan hujan berterusan sejak 13 September lalu.

Kejadian tersebut memaksa ribuan penduduk berpindah ke PPS, manakala seramai 14 orang dilaporkan terkorban akibat bencana berkenaan.