SHAH ALAM - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang didakwa berperanan dalam isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.
Ahli Parlimen Arau itu menegaskan, persoalan utama yang perlu dijawab ialah siapa membawa masuk pemaju dan mengapa proses itu kelihatan tergesa-gesa sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.
"Siapa sebenarnya yang membawa masuk pemaju? Mengapa tergesa-gesa sehingga kelihatan seolah-olah ada usaha untuk 'bulldoze'?
"Saya mendesak agar SPRM segera menyiasat dan membongkarkan perkara ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur yang tidak dinamakan menjadi individu yang bertanggungjawab membawa masuk pemaju untuk sesi libat urus bersama penduduk di kawasan berkenaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu turut menempelak syarikat pemaju yang didakwa cuba mengambil kesempatan terhadap penduduk di kawasan berkenaan yang rata-ratanya tidak begitu berpelajaran.
Beliau juga mendakwa, Akta Pengambilan Tanah turut disalahgunakan sedangkan masih terdapat baki penduduk melebihi 30 peratus tidak bersetuju dengan projek pembangunan itu.
"Mana boleh kita masuk kawasan orang guna Akta Pengambilan Tanah 1960 berdasarkan 67 peratus (penduduk) saja sedangkan 33 peratus lagi tak setuju, anda masih menggunakan akta ini.
"Akta Pengambilan Tanah ini adalah satu perkara yang sangat-sangat salah bagi saya atau mengambil peluang menekan orang-orang yang susah, orang yang tak faham soal pembangunan semula ini," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Podcast Utama TV3.