SEPANG - Perancangan yang tidak teliti, ketidakfahaman penduduk serta isu governans disifatkan antara punca polemik yang melanda Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) perlu ditambah baik khususnya berkaitan penggunaan tanah.
Menurutnya, negara kini menuju alaf 2025 dan sudah tentu pembangunan akan berterusan, sekali gus menuntut perancangan bandar dan desa yang lebih strategik.
"Mungkin bagi saya, desa tiada isu sangat tetapi perancangan bandar itu banyak menimbulkan isu baharu seperti Kampung Sungai Baru.
"Saya tidak katakan ia isu besar, tetapi perancangan sebenarnya tidak begitu teliti. Penglibatan penduduk yang tinggal di atas tanah itu mungkin mereka tidak begitu faham risiko apabila bersetuju tanah dibangunkan dan sebagainya.
"Jadi, ketidakfahaman serta ketiadaan governans akhirnya menyebabkan rakyat menderita," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, SPRM pernah melihat isu sebegini apabila tiada perancangan strategik dilakukan.
Tambahnya, penduduk tidak memahami sepenuhnya selain tiada panduan jelas diberikan kepada mereka.
"Mungkin digambarkan wang yang banyak, pampasan yang ingin diberikan, jadi mereka nampak itu sahaja. Perkara lain tidak ditonjolkan dan akhirnya menjadi isu kepada negara kita," ujarnya.
Sebelum itu, persidangan penyelidikan turut membentangkan kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertajuk Risiko Rasuah dalam Menentukan Guna Tanah dalam Penyediaan Rancangan Tempatan.
Penyelidik meneliti bagaimana rasuah boleh berlaku dalam proses perubahan zon guna tanah, khususnya semasa penggubahan rancangan tempatan.
Kajian itu mencadangkan beberapa seksyen dalam Akta 172 ditambah baik selain memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan agar lebih telus, berintegriti dan mampu menutup ruang rasuah dalam pengurusan guna tanah negara.