PM sambut baik titah Sultan Selangor mengenai hala tuju Kampong Bharu

Iklan
Anwar.

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju kawasan Kampong Bharu.

Anwar berkata, pandangan itu selari dengan pendirian Kerajaan Madani yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat.

"Alhamdulillah, saya menyambut baik kenyataan Sultan Selangor.

Iklan

"Sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar isu pembangunan semula tanah di Kampong Bharu, Kuala Lumpur dikendalikan dengan teliti serta berhemah dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Iklan

Baginda bertitah, tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya perlu jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Menurut baginda, Kampong Bharu ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (MAS).

Sultan Sharafuddin turut mengimbas susur galur sejarah serta peristiwa penting orang Melayu yang berlaku di Kampong Bharu yang harus dipelihara kerana ia mempunyai ikatan rapat dengan keluarga diraja Selangor.