'Orang luar politikkan isu Kampung Sungai Baru' - Johari

Iklan
Johari Abdul Ghani. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR – Campur tangan pihak luar didakwa menjadi punca isu Kampung Sungai Baru bertukar tegang sehingga mencetuskan suasana politik.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu menyebabkan masalah asal yang hanya melibatkan sebahagian kecil penduduk semakin rumit apabila unsur politik mula mempengaruhi perkembangan isu berkenaan.

Iklan
Iklan

Johari menegaskan, sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen penggal lalu, tidak ada seorang pun penduduk berpindah kerana beliau sendiri menghalang dan menasihati mereka agar tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan pemaju.

Katanya, syarikat terbabit sejak awal lagi tidak mempunyai kekuatan kewangan yang kukuh dan bertindak mengambil kesempatan terhadap penduduk B40, majoritinya penghuni rumah PKNS.

Iklan

Namun, selepas beliau tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), barulah pemaju mula masuk dan berjaya meyakinkan sebahagian penduduk untuk menandatangani perjanjian sehingga jumlahnya mencecah kira-kira 67 peratus.

“Bila saya kalah, mereka mula bergerak. Itu punca sebenar. Sebab saya sudah pesan jangan layan pemaju ini,” katanya dalam dalam Podcast Utama di TV3, pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, keadaan itu bertambah rumit apabila pemaju menggunakan Akta Pengambilan Tanah berasaskan 67 peratus persetujuan, walhal baki 33 peratus penduduk masih menolak pembangunan berkenaan.

“Bagi saya ini tindakan salah. Akta tidak boleh digunakan hanya kerana dua pertiga setuju. Penduduk yang tidak setuju tetap ada hak,” ujarnya.

Menurut Johari, pemaju asalnya dibawa masuk oleh bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk libat urus bersama penduduk, namun selepas itu bertindak pula sebagai penasihat kepada syarikat.

“Waktu saya jadi wakil rakyat, saya jelas cakap jangan tandatangan. Saya beritahu, kalau awak tandatangan, percayalah awak akan berdepan masalah. Dan hari ini, terbukti apa yang saya kata itu berlaku,” tegasnya.

Johari turut menjelaskan, masalah sebenar mula timbul apabila tiada pemimpin politik yang mengawal isu berkenaan selepas ketiadaannya di Parlimen Titiwangsa.

Keadaan itu tambah sukar apabila penduduk Kampung Sungai Baru berpecah kepada dua kumpulan, iaitu penghuni flat yang mahukan pembangunan dan pemilik rumah teres yang menolak.

Namun katanya, pemaju mencampurkan kiraan kedua-dua kumpulan itu hingga membolehkan mereka menggunakan alasan 67 peratus sokongan bagi melaksanakan pengambilan tanah.

“Flat dengan teres ini isu berbeza. Bila dia campurkan, dia dapat angka dua pertiga. Inilah yang menjadikan masalah besar,” katanya.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu turut menyebut, proses meluluskan Seksyen 4 dan 8 Akta Pengambilan Tanah dilakukan ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah, sebelum diteruskan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Tanya kenapa mereka tidak reverse? Bukannya senang nak buat. Sebab itu bila saya kembali jadi wakil rakyat, orang minta saya batalkan. Saya tanya balik, bagaimana nak reverse sedangkan pampasan sudah diambil,” katanya.

Menurut Johari, ada penduduk yang sudah menggunakan pampasan itu untuk keperluan keluarga dan tidak mungkin mahu memulangkannya kembali.

“Itu yang saya cakap nasi sudah jadi bubur. Tapi bila saya cakap begitu, ada pula yang tuduh saya penyokong pemaju. Sejak bila saya sokong pemaju ini?” katanya.

Beliau mendedahkan syarikat berkenaan kini terpaksa menjual 20 peratus saham kepada syarikat tersenarai awam kerana tidak mempunyai dana mencukupi untuk membayar pampasan.

“Dari awal lagi syarikat ini tidak kukuh. Sebab itu saya kesal apabila mereka diberi ruang hingga menyusahkan penduduk sendiri,” ujarnya.

Johari berkata, keadaan menjadi lebih tegang apabila wujud campur tangan pihak luar yang tidak ada kaitan langsung dengan penduduk asal, sekali gus mencetuskan suasana politik yang merumitkan keadaan.

“Sepatutnya isu ini melibatkan 14 rumah sahaja yang masih belum berpindah. Tetapi bila orang luar masuk campur, ia jadi seolah-olah macam satu kampung berperang dengan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan menggunakan isu ini sebagai modal politik sangat tidak bertanggungjawab kerana akhirnya yang menanggung kesan ialah penduduk sendiri.

Menurut Johari, pemaju sepatutnya berunding secara adil dan telus dengan semua pihak tanpa menekan golongan yang kurang faham mengenai pembangunan semula bandar.

“Kalau dari awal lagi pendekatan yang lebih berhemah diambil, isu ini tidak akan jadi sebesar ini. Malangnya, ia dimanipulasi hingga menyusahkan pemilik asal,” katanya.