KEDUDUKAN Pas dalam arus perdana politik negara perlu dilihat dalam konteks sejarah mutakhir.
Ramai pemerhati politik yang neutral berpendapat bahawa keberhasilan Pas menjadi pemenang kerusi Parlimen terbanyak dalam Pilihan Raya Umum 2022 bukanlah kekuatan mutlak parti itu sendiri, sebaliknya hasil daripada kekuatan pakej keseluruhan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Pertama sekali, Pas mampu menjejakkan kaki ke Putrajaya sebelum ini hasil daripada pergolakan dalaman Pakatan Harapan yang dimanfaatkan oleh Bersatu.
Pada 24 Februari 2020, langkah politik berani yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton” telah mengubah sepenuhnya landskap politik negara.
Tindakan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan, disusuli dengan tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama 10 Ahli Parlimen lain meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang dalam tempoh yang begitu singkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Perkembangan ini membuka jalan kepada terbentuknya Kerajaan PN dengan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Buat pertama kali dalam sejarah pasca 1977, Pas diangkat menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
Kejayaan tersebut jelas tidak berlaku dalam vakum, tetapi lahir daripada pengorbanan besar tokoh-tokoh Berdaru serta beberapa bekas pemimpin PKR yang sanggup meninggalkan zon selesa mereka demi membina kerajaan baharu yang lebih berteraskan kepentingan Melayu dan Islam.
Hasil daripada peralihan kuasa itu, Pas turut diberikan kedudukan yang signifikan dalam Kabinet Persekutuan. Seramai lapan orang pemimpin Pas telah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.
Perlantikan ini memberikan Pas peluang untuk buat pertama kali menunjukkan kebolehan menguruskan kementerian di peringkat persekutuan. Namun, ia tetap hakikat bahawa peluang itu hanya muncul selepas strategi politik Bersatu berjaya menggugat kestabilan kerajaan Pakatan Harapan.
Perubahan yang berlaku di peringkat pusat turut memberi kesan besar di negeri Kedah. Kejatuhan majoriti yang dipegang oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar telah membuka jalan kepada Pas untuk memimpin kerajaan negeri.
Pada 17 Mei 2020, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Menteri Besar Kedah dengan sokongan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terdiri daripada empat wakil Pas, tiga wakil Bersatu, dan dua wakil PKR.
Kejayaan ini sekali lagi menegaskan bahawa laluan Pas untuk memimpin negeri Kedah hanya terhasil selepas pergolakan dalaman parti lain, khususnya Bersatu dan PKR. Ia bukan semata-mata kerana kekuatan dalaman Pas, tetapi kerana kebijaksanaan strategi politik pihak lain yang membuka ruang kepada mereka.
Kecenderungan untuk mendesak agar Pas mengetuai Perikatan Nasional dan meletakkan Perdana Menteri daripada kalangan pemimpin Pas juga dilihat sebagai satu langkah yang berisiko tinggi.
Sokongan daripada parti-parti politik di Sabah dan Sarawak adalah kunci utama untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Namun, rekod dan imej Pas dilihat terlalu sempit untuk diterima oleh masyarakat Borneo yang lebih pluralistik.
Tanpa sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak atau parti-parti lain di Sabah hasrat Pas untuk memimpin kerajaan pusat hampir mustahil untuk dicapai.
Selain itu, pengundi bukan Melayu dan Melayu moderat juga masih melihat Pas sebagai sebuah parti yang terlalu konservatif walaupun berbagai-bagai cubaan sudah dibuat oleh pimpinan Pas bagi mengubah imej ini dalam masa kebelakangan.
Sekiranya Pas memaksa dirinya untuk menjadi peneraju PN, ia akan memberi kesan negatif terhadap persepsi awam dan menakutkan kumpulan pengundi yang sebelum ini memberikan kepercayaan kepada PN kerana faktor kepimpinan sederhana yang dibawa oleh Muhyiddin.
Malah, parti-parti seperti Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC) juga tidak mungkin berminat untuk menyertai PN sekiranya Pas diletakkan sebagai peneraju utama.
Ini sekali gus akan mengukuhkan imej PN sebagai gabungan eksklusif yang gagal meraih sokongan masyarakat majmuk.
Pas sering menjadikan kemenangan 43 kerusi Parlimen dalam PRU15 sebagai bukti kekuatan mereka. Namun, realitinya rakyat memberikan undi kerana percaya kepada PN sebagai gabungan yang stabil dengan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, bukannya kerana yakin Perdana Menteri boleh lahir daripada Pas.
Pas perlu melakukan muhasabah jujur. Kejayaan mereka pada PRU15 tidak boleh disalah tafsir sebagai tanda keupayaan mutlak untuk memimpin negara. Ia harus dilihat sebagai hasil kerjasama dalam PN dengan Bersatu sebagai teraju, bukan kerana Pas semata-mata.
Sekiranya Pas terus hanyut dalam mimpi ingin menjadi peneraju tunggal, gabungan PN akan berdepan risiko retak dari dalam.
Lebih parah, ia boleh mengakibatkan pengundi mula menjauhkan diri dan akhirnya menolak PN secara keseluruhan dalam pilihan raya akan datang.
Kesimpulannya, sejarah politik mutakhir Malaysia menunjukkan bahawa Pas tidak akan sampai ke Putrajaya tanpa sokongan Bersatu dan beberapa tokoh lain yang sanggup berkorban kedudukan serta parti asal mereka.
Oleh itu, Pas tidak boleh mengabaikan jasa tersebut dengan cuba mengambil alih kepimpinan PN.
Dalam realiti politik Malaysia yang majmuk, mengangkat Pas sebagai peneraju utama hanya akan melemahkan gabungan, menakutkan pengundi moderat dan mengasingkan rakan politik dari Sabah serta Sarawak.
Jika Pas benar-benar ingin terus relevan, mereka harus berpijak di bumi nyata, menghargai jasa rakan seperjuangan dan mengekalkan kerjasama dalam PN dengan penuh keinsafan.
* PROFESOR Madya Dr. Mohd Noor Yazid ialah Felo Kanan di Borneo Institute for Indigenous Studies (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).