SUNGAI PETANI - Seorang wanita terkejut apabila gambar mendiang sepupunya digunakan sebuah laman sosial kononnya bagi meraih simpati orang ramai mengutip derma.
Lynn Tan, 40, berkata, semasa hayatnya, mendiang sepupu menghidap kanser dan telahpun meninggal dunia pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, laman sosial berkenaan dikatakan telah memperdaya orang ramai bagi mengumpul dana berjumlah RM80,000 bertujuan menjalani rawatan kanser.
"Laman Facebook itu mendakwa kononnya mangsa memerlukan rawatan membabitkan kos RM80,000 dan meminta simpati orang ramai sedangkan wanita di dalam gambar telah meninggal dunia.
"Saya cuba menyamar dan menghubungi pihak terbabit selain bertanya berapa jumlah wang yang masih diperlukan, mereka beritahu lebih kurang RM30,000, saya percaya setakat ini mereka telah berjaya mengutip kira-kira RM50,000 hasil penipuan berkenaan" jelasnya.
Menurutnya, ahli keluarga kesal apabila gambar tersebut telah disalah guna pihak tertentu dan menganggap ia satu kesalahan serius.
“Kami sekeluarga amat kesal kerana gambar ini telah disalahgunakan bagi tujuan penipuan.
"Tujuan pendedahan adalah untuk mengelakkan lebih ramai terpedaya sekali gus menjadi mangsa penipuan," katanya.
Dalam masa sama, sedang mengumpul maklumat dan bukti sebelum laporan polis dibuat.
"Kami juga mengingatkan agar masyarakat berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tindakan kutipan derma yang meragukan di media sosial selain merujuk kepada pihak sepatutnya bagi mengenal pasti kesahihan terlebih dahulu," katanya.