Serangan dron Israel kuatkan lagi azam sukarelawan GSF - Mapim

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Azmi

SHAH ALAM - Serangan dron ke atas salah sebuah bot misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan Tunisia baru-baru ini tidak melemahkan semangat sukarelawan dalam membantu rakyat Palestin di Gaza.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia sebaliknya menguatkan lagi azam para sukarelawan untuk meneruskan misi sivil mereka dalam menyampaikan bekalan bantuan secukupnya termasuk makanan, minuman dan ubat-ubatan.

Iklan
Iklan

“Serangan itu tidak mengejutkan kita. Perkara itu sudah ada dalam pembacaan kita dan kemungkinan untuk diserang itu sangat besar.

“Yang terbaharu apabila Israel menyerang sebelum (kapal) sempat masuk ke pengairan antarabangsa. Itu menunjukkan bahawa Israel tidak ada lagi sifat rasional, mereka akan serang tanpa sebarang justifikasi.

Iklan

“Namun, respons daripada peserta, delegasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama dalam misi itu nampaknya menguatkan lagi tekad serta semangat bahawa kita tidak akan berundur daripada misi ini,” katanya kepada Sinar Harian di pejabat Mapim, TTDI Jaya pada Isnin.

Sebelum ini, GSF dalam kenyataan pada Selasa mengesahkan bahawa salah satu bot utama, Family Boat yang membawa ahli Jawatankuasa Pemandu GSF telah diserang dron milik Israel di perairan Tunisia.

Iklan

Misi GSF adalah usaha kemanusiaan antarabangsa yang diusahakan secara kolektif untuk membuka laluan laut termasuk bantuan serta menyuarakan solidariti global kepada rakyat Gaza.

Ujar Mohd Azmi, tidak mustahil serangan daripada tentera Israel akan berulang dengan skala yang lebih besar, namun pihaknya telah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan sepanjang pelayaran.

Menurutnya, misi kali ini adalah sepenuhnya bersifat sivil tanpa sebarang senjata atau elemen ketenteraan, justeru sebarang tindakan agresif hanya akan membuka mata dunia terhadap kekejaman yang dilakukan rejim zionis tersebut.

“Senjata yang kita bawa hanya makanan, minuman dan ubat-ubatan untuk rakyat Gaza. Jika Israel terus menyerang, ia akan mencetuskan respons antarabangsa yang lebih kuat kerana dalam flotilla ini terdapat wakil dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Eropah, Afrika serta Amerika Latin.

“Kerajaan masing-masing pasti akan bertanggungjawab untuk melindungi rakyat mereka, sekali gus memberi tekanan politik dan diplomatik terhadap Israel,” ujarnya.

Kata Mohd Azmi, usaha misi kemanusiaan kali ini bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan, tetapi juga sebagai mesej jelas kepada dunia bahawa kepungan terhadap Gaza yang berlarutan untuk sekian lama mesti ditamatkan segera.

Ujarnya, walaupun berdepan risiko serangan, misi berkenaan tetap diteruskan memandangkan keadaan di Gaza kini semakin kritikal.

“Empat faktor utama yang membunuh rakyat Gaza ialah pengeboman, ketiadaan rawatan, penyakit berjangkit dan kebuluran.

“Dari segi kebuluran, agensi dunia juga mengatakan bahawa Israel sedang menggunakan makanan sebagai senjata perang, dengan menyekat kemasukan bekalan tersebut dan membunuh petugas pengagihan makanan.

“Itu menjadi salah satu senarai operasi tentera Israel. Kita boleh nampak jelas matlamat Israel ini adalah untuk menghapuskan Gaza secara keseluruhan,” menurutnya.