LBS rai Tahun Baharu Cina, 65 tahun pertumbuhan dan komitmen komuniti

Iklan
KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Pahang, bersama YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri; Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San; YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu; YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul; serta dif-dif kenamaan lain semasa sesi Lou Sang pada Jamuan Tahun Baharu Cina LBS 2026 di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) menganjurkan Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu sebagai tanda penghargaan kepada rakan perniagaan, warga kerja dan pihak berkepentingan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selain dihadiri kira-kira 600 tetamu terdiri daripada pemimpin negara, wakil media dan warga LBS.

Iklan
Iklan

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut LBS, majlis berkenaan diadakan bersempena sambutan Tahun Kuda yang membawa simbol kekuatan dan semangat untuk terus melangkah ke hadapan, selari dengan perjalanan pertumbuhan syarikat itu.

Iklan

Sambutan kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila berlangsung sempena ulang tahun ke-65 penubuhan LBS sejak ditubuhkan pada tahun 1961 oleh mendiang Dato’ Sri Lim Bock Seng. Sepanjang lebih enam dekad, LBS berkembang sebagai antara pemaju hartanah utama di negara ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan muzik tradisional Cina yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, selain memberi ruang kepada para tetamu untuk beramah mesra dalam suasana mesra dan sederhana.

Iklan

Pada majlis sama, LBS mengumumkan pembaharuan janji jenamanya, Building Tomorrow Together, yang mencerminkan hala tuju syarikat dalam membangunkan komuniti dan persekitaran kediaman untuk jangka panjang.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, tahun 2026 menjadi tahun penting buat syarikat itu dengan perancangan untuk melancarkan 10 projek baharu di Lembah Klang, Johor dan Pahang.

“Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan iltizam berterusan kami untuk menyampaikan pembangunan yang mampu milik dan mampan, selaras dengan keperluan yang semakin berkembang dalam kalangan Keluarga Malaysia, di samping menyokong aspirasi pembentukan masyarakat MADANI yang harmoni,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga LBS atas komitmen dan sumbangan berterusan mereka dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan syarikat.