[VIDEO] Hanya wakil rakyat lelaki terima ugutan -Fahmi

Iklan

GEORGE TOWN - E-mel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI) dilaporkan hanya diterima oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lelaki.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat Ahad, seramai sembilan wakil rakyat kerajaan menerima e-mel tersebut yang turut menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000).

Iklan
Iklan

“Setakat ini hanya Ahli Parlimen dan ADUN lelaki dilaporkan menerima emel ugutan yang dipercayai bersifat ‘phishing’. Belum ada maklumat yang menunjukkan Ahli Parlimen wanita menerima e-mel berkenaan,” katanya selepas menyampaikan Tabung Kasih@HAWANA Santuni Pengamal Media Pulau Pinang di Ayer Itam pada Isnin.

Tambahnya, notis peringatan mengenai perkara itu telah dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat pada pagi Isnin yang mengingatkan semua wakil rakyat agar berhati-hati apabila menerima sebarang emel.

Iklan

“Saya telah membaca notis yang dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat pagi tadi. Notis itu merupakan peringatan yang disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada Ahli Parlimen supaya berhati-hati apabila menerima sebarang emel, terutamanya yang meminta mereka mengklik pautan atau mengimbas kod QR.

“Tidak mustahil terdapat elemen perisian hasad atau ‘malware’ yang cuba dimasukkan ke dalam peranti. Sebab itu kita ingatkan Ahli Parlimen dan ADUN untuk lebih berhati-hati.

Iklan

“E-mel ugutan tersebut juga mungkin bersifat ‘phishing’, iaitu apabila penerima mengklik pautan atau berhubung dengan pihak scammer, peranti mereka berisiko digodam. Ini peringatan yang telah disampaikan oleh MCMC melalui Setiausaha Dewan Rakyat,” jelasnya.

Fahmi

Fahmi berkata, e-mel itu dipercayai datang daripada sumber sama namun siasatan masih dijalankan.

“Siasatan lanjut boleh dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk jumlah laporan yang diterima serta sama ada pihak Google telah dihubungi untuk membantu siasatan.

“Tidak mustahil modus operandinya menggunakan maklumat terbuka di laman web rasmi Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri, seperti alamat e-mel dan gambar profil rasmi,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah keselamatan ini bukan hanya terpakai kepada Ahli Parlimen malah semua pengguna internet.

“Kita digalakkan menukar kata laluan sekurang-kurangnya setahun sekali serta mengaktifkan ‘two-step authentication’.

“Jika ada cubaan log masuk daripada peranti baharu, notifikasi akan dihantar kepada pemilik akaun. Ini langkah keselamatan tambahan untuk mengelak percubaan godaman,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan mesej, e-mel atau hantaran media sosial yang mencurigakan.

“Kalau terima mesej daripada individu yang dikenali sekali pun, jangan terus percaya. Hubungi dia untuk sahkan. Jika tidak, ia mungkin scammer yang menyamar untuk tujuan tertentu seperti minta derma.

“Selain itu, jika menerima mesej jemputan kad kahwin dengan pautan berformat ‘APK’, jangan sekali-kali buka. Itu memang cara penggodam untuk ambil alih telefon bimbit serta aplikasi seperti WhatsApp,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan antara yang menerima e-mel tersebut ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; ADUN Kulim, Wong Chia Zen; dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi serta Wong Chen turut mendedahkan di media sosial bahawa mereka menerima e-mel ugutan serupa dengan mesej dan tangkap layar yang sama digunakan bagi menakut-nakutkan mangsa.

Dr Taufiq Johari pula mendedahkan e-mel ugutan diterimanya pada 12 September lalu dengan tuntutan bayaran AS$100,000 agar video lucah palsu berasaskan AI itu tidak disebarkan. Beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada MCMC serta akan membuat laporan polis.

Sementara itu, Mohd Najwan Halimi turut mengesahkan menerima ugutan sama yang disifatkannya sebagai jenayah serius bertujuan menjatuhkan maruah dan keselamatan diri, selain menegaskan laporan kepada MCMC sudah dibuat dan tindakan lanjut akan diambil bersama pihak polis.