SHAH ALAM - Pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape dijangka tidak memberi kesan besar kepada ekonomi negara, namun dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana kos rawatan akibat tabiat menghisap vape jauh lebih tinggi berbanding hasil kutipan cukai penjualannya.
Pakar Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, meskipun kerajaan akan kehilangan hasil cukai daripada industri vape, beban kewangan untuk menanggung kos rawatan kesihatan akan jauh lebih besar jika tabiat itu berterusan.
Menurutnya, kos rawatan bagi pesakit mengalami masalah paru-paru akibat penggunaan vape dianggarkan mencecah sehingga RM150,000 untuk rawatan intensif selama 12 hari di hospital.
“Katakanlah ada seramai 1.5 juta pengguna vape di Malaysia dan kalau hanya sejuta yang menghadapi masalah kesihatan, kerajaan terpaksa menanggung RM150 bilion. Jika separuh sahaja yang sakit, jumlahnya masih sekitar RM75 bilion, manakala kalau 20 peratus pesakit pun sudah mencecah RM30 bilion.
“Sedangkan hasil cukai vape yang dilapor dikutip dari 2021 hingga Julai lalu hanya RM288.45 juta, jadi jelas beban kos rawatan kesihatan jauh lebih tinggi berbanding hasil yang diperoleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Rabu dilapor berkata, kerajaan Persekutuan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.
Mengulas lanjut mengenainya, Ahmed Razman menegaskan, pengharaman vape boleh dianggap sebagai langkah jangka panjang yang dapat memberi penjimatan besar kepada kerajaan, sekali gus mengimbangi kehilangan hasil cukai daripada industri berkenaan.
Malah pada pandangannya, kerajaan juga mendapat ‘bonus’ daripada pengharaman penjualan vape dan penguatkuasaan undang-undang yang dibuat terutama kepada penyeludup vape.
“Sebenarnya keadaan ini macam baru menyedarkan kita bahawa berbilion ringgit dibelanjakan untuk kos kesihatan akibat tabiat hisap vape.
“Bila tabiat ini dapat dibendung, kos berbilion ringgit itu pastinya dapat dikurangkan, maknanya di situ sudah jimat. Bila penjimatan banyak, hasil negara akan ada lebihan sebab tidak perlu dibelanjakan ke situ lagi.
“Pengharaman pen jualan vape secara langsung pastinya akan menyebabkan berlaku penyeludupan vape. Jadi hasil penguatkuasaan undang-undang dengan menangkap penyeludup ini dan mendenda mereka boleh dianggap sebagai ‘bonus’ kepada kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, pengharaman penjualan vape atas faktor kesihatan memberikan implikasi yang besar kepada sektor runcit negara.
Ujar beliau, nilai runcit industri vape di Malaysia dianggarkan RM3.48 bilion pada 2023, manakala pasaran vape global bernilai kira-kira AS$27.92 bilion pada tahun sama serta diunjurkan meningkat kepada AS$72.36 bilion menjelang 2032, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 11.16 peratus.
“Kebanyakan peniaga runcit merupakan anak muda bumiputera yang menceburi bidang perniagaan antara lima ke 10 tahun lalu. Bagaimanapun, mereka mungkin sudah membuat persediaan awal menyedari pengharaman penjualan vape lambat laun akan berlaku.
“Justeru kerajaan perlu juga melihat dan membantu pemain-pemain industri vape ini untuk beralih kepada perniagaan lain yang tidak menyalahi undang-undang serta tidak membawa sebarang keburukan kepada mana-mana pihak,” ujar beliau.
Katanya, rantaian nilai industri vape yang telah terbentuk dan juga pekerja-pekerja dalam rantaian tersebut boleh diguna pakai semula untuk produk-produk lain.