Rafizi dedah diugut video lucah palsu, tuntut RM470,000

Iklan
Rafizi ketika mendedahkan ugutan berkenaan di Facebooknya pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan beliau menerima ugutan melalui emel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah kononnya melibatkan dirinya bersama seorang lelaki.

Menurut Rafizi, emel itu menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000) bagi mengelakkan video berkenaan disebarkan. Malah, ia turut disertakan dengan tangkap layar video serta kod QR untuk pemindahan wang.

Iklan
Iklan

Katanya, tangkap layar itu kelihatan kabur dengan latar sebuah bilik dan katil, namun wajahnya seolah-olah telah disunting pada imej tersebut.

“Lawaknya, setengah jam kemudian saya menerima mesej daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang turut diugut dengan video serupa bersama lelaki yang sama.

Iklan

"Pejabat beliau lebih tegas daripada saya kerana terus membuat laporan polis,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.

Bekas Menteri Ekonomi itu tidak percaya ada pihak sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk menghasilkan video berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memfitnah dirinya.

Iklan

Sebaliknya, beliau yakin video lama telah diedit dan wajahnya ditampal sebelum diambil tangkap layar.

“Saya rasa tujuan sebenar bukan sekadar ugutan wang tetapi untuk menggodam peranti elektronik saya. Jika berjaya, fitnah lebih besar boleh dibuat selepas itu,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa cubaan menggodam peranti peribadinya sering berlaku, termasuk telefon dan komputer riba. Cubaan paling berbahaya, jelasnya melibatkan firma antarabangsa yang mensasarkan iPhone serta akaun Apple miliknya.

Namun, katanya, ciri keselamatan Apple yang canggih membantu mematahkan serangan itu apabila sistem memberi arahan untuk menutup peranti yang terdedah sebaik serangan dikesan.

“Dalam tempoh sembilan bulan lalu, saya disasarkan sebanyak empat kali dengan amaran daripada Apple pada 14 November 2024, 6 Mac 2025, 25 Jun 2025 dan 3 September 2025,” katanya.

Jelas Rafizi lagi, maklumat daripada Apple menyatakan serangan itu berpunca daripada perisian pengintipan upahan (mercenary spyware) yang berkait dengan kedudukan serta pendiriannya sebagai ahli politik.

Apple turut memberi contoh perisian serangan canggih seperti Pegasus yang dibangunkan sebuah firma perang siber Israel, NSO Group yang pernah digunakan untuk menjejaki tokoh politik di seluruh dunia.

“Saya percaya cubaan untuk memfitnah dengan video palsu, berita palsu dan serangan siber akan berterusan. Jadi, kalau ada pihak yang menerima video atau gambar pelik mengenai saya atau mendapat emel meragukan, sila semak dahulu,” katanya.

Rafizi pada masa sama mengakui kehidupan sebagai ahli politik tidak semudah disangka kerana sering berdepan ugutan, fitnah dan serangan siber, lebih-lebih lagi jika seseorang itu lantang menentang rasuah atau mencabar kepentingan tertentu.

“Ramai yang fikir mudah jadi ahli politik tetapi kalau ada pendirian sendiri, kehidupan harian kita akan terus diganggu dengan cara seperti ini,” tegasnya.