Hargai keamanan, ambil iktibar rusuhan, peperangan di luar negara - Anwar

Iklan
Anwar (tengah) bersama Dr Mohd Na'im (tiga dari kanan) dan Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kiri) serta tetamu lain pada Majlis IJPAM 2025 di Iskandar Puteri pada Sabtu. Foto: Bernama

ISKANDAR PUTERI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh lapisan rakyat supaya sentiasa menghargai nikmat keamanan serta perpaduan yang dikecapi di negara ini selama ini.

Beliau berkata, Malaysia masih jauh lebih aman berbanding banyak negara lain dan pelbagai krisis, termasuk peperangan, rusuhan rakyat, malah keganasan bersenjata yang sedang berlaku di luar negara perlu dijadikan sebagai iktibar oleh rakyat negara ini.

Iklan
Iklan

"Kita bersyukur betul, alhamdulillah. Kalau dibandingkan dengan banyak negara lain, Malaysia jauh lebih aman. Rusuhan berlaku di mana-mana,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata, demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Merujuk kepada situasi di Palestin, Ukraine dan insiden penembakan di Utah, Amerika Syarikat yang berlaku dua hari lepas, beliau berkata insiden itu merupakan contoh bahawa dunia kini sedang bergolak.

Iklan

"Dunia sekarang kucar-kacir, peperangan di Palestin, Ukraine, penembakan di Utah. Kita berdoa kepada ALLAH SWT agar kita dapat terus kekalkan keamanan dan perpaduan yang kita miliki,” kata beliau.

Sementara itu Anwar berkata, agensi dan jabatan agama Islam perlu tampil sebagai pencetus serta penggerak utama dalam pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih hebat, namun berlandaskan nilai Islam dan akhlak mulia.

Beliau berkata, usaha itu termasuk melaksanakan transformasi ke arah digitalisasi dan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

"Saya minta supaya semua dasar negara, termasuk program pembangunan desa hingga ke bidang digital dan AI, perlu mengambil input daripada sudut pandangan Islam,” katanya. - Bernama