SHAH ALAM – Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung kepentingan semua warganegara menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.
Perkara itu dinyatakan Penyandangnya yang juga merupakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Menurutnya, kebebasan mengamalkan agama bagi penganut agama lain wajib dihargai dan tiada ruang bagi sesiapa untuk meremehkan kedudukan agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menegaskan bahawa soal agama dan aspek lain kehidupan bernegara telah sedia terangkum dalam undang‑undang negara.
Sehubungan itu, tegasnya, prinsip Rukun Negara ketiga iaitu Keluhuran Perlembagaan dan prinsip keempat, Kedaulatan Undang‑Undang perlu dipatuhi oleh seluruh warganegara.
Terdahulu, Sultan Ibrahim pada Rabu turut bertitah menegaskan sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara berbilang kaum.
Seri Paduka Baginda bertitah, Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.