JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor pada Jumaat membuat laporan polis berhubung satu ugutan bunuh dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial pada Khamis.
Ketuanya, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, ugutan tersebut yang tersebar dalam format audio dipercayai ucapan seorang individu diterimanya pada jam 4 petang pada Khamis.
Menurutnya, dalam rakaman tersebut individu terbabit didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dengan menghasut rakyat menentang kerajaan.
"Individu terbabit juga mengaku pernah dituduh merancang pembunuhan Perdana Menteri dan ditahan di bawah Isa (Akta Keselamatan Dalam Negeri) selama lima tahun.
"Dia juga turut mengeluarkan ancaman terbuka dengan berkata, jangan sampai saya buat betul-betul.
"Ucapan ini jelas berunsur ancaman terhadap keselamatan Perdana Menteri dan keselamatan negara selain boleh menimbulkan ketakutan awam, menghasut kebencian dan mendorong tindakan ekstremisme," katanya selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Johor Bahru Utara di sini.
Sementara itu, Faezuddin berkata, tindakan tersebut merupakan kesalahan di bawah peruntukan di bawah Seksyen 503 dan 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah dan ancaman bunuh, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (kenyataan) yang menyalurkan atau mendorong kesalahan terhadap ketenteraman awam serta Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan (aktiviti atau percubaan aktiviti) yang memudaratkan demokrasi berparlimen).
"Tujuan saya membuat laporan agar pihak polis dapat menjalankan siasatan lanjut serta mengambil tindakan tegas dari segi undang-undang terhadap individu tersebut.
"Hal ini penting demi keselamatan negara dan untuk memberikan mesej jelas agar ancaman seperti ini tidak diulangi terhadap pimpinan tertinggi negara," katanya.