PUTRAJAYA – Kerajaan memperkenalkan Program Tindakan Peralihan Solar Dipercepatkan (ATAP) bermula 1 Disember ini bagi memperluas usaha memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) daripada sumber solar.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan memaklumkan langkah itu menjadi kesinambungan penting dalam agenda negara mencapai peralihan tenaga yang mampan susulan tamatnya Program Meter Tenaga Bersih (NEM) pada penghujung Jun lalu.
"Pelaksanaan program ini adalah berteraskan kepada pengekalan prinsip asas NEM iaitu membolehkan lebihan tenaga dijual kepada sistem grid sebagai offset tenaga dengan penyesuaian agar ia lebih menarik berbanding Program Solar for Self-consumption (SelCo) sedia ada," katanya pada Jumaat.
Ujar kementerian itu, penetapan kadar offset tenaga adalah pada harga pasaran elektrik iaitu pada kadar system marginal price (SMP).
"Pendekatan ini adalah sebagai mana Program NEM NOVA sebelum ini yang bertujuan untuk memastikan pelaksanaannya bersifat jangka masa panjang," katanya.
Menurut PETRA, had pemasangan sistem solar ditetapkan pada kadar 100 peratus permintaan maksimum agar pengguna boleh mengoptimumkan pemasangan sistem solar untuk kegunaan sendiri.
"Penyediaan garis panduan serta sistem pendaftaran program baharu ini akan dilakukan dan dijangka akan berkuat kuasa mulai 1 Disember depan dan garis panduan program serta kaedah permohonan boleh didapati daripada laman sesawang Suruhanjaya Tenaga dan SEDA Malaysia mulai tarikh tersebut," jelas PETRA.
Katanya, pelaksanaan ATAP ini dijangka merancakkan lagi pembangunan penjanaan teragih (distributed generation) dalam sistem bekalan elektrik negara selain memberi pilihan kepada pengguna untuk memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk penjanaan TBB.
"PETRA sebagai agensi peneraju agenda peralihan tenaga negara yakin bahawa pelaksanaan program baharu ini akan menyokong aspirasi negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050, sekali gus memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang sejajar dengan prinsip utama Malaysia Madani," katanya.