NRES rekod RM413.1 juta nilai rampasan sejak 2019 - Menteri

Iklan
Arthur (tengah) melihat salah satu rampasan yang dibuat menerusi beberapa siri operasi sejak 2019.

NABAWAN - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) merekodkan sebanyak RM413.1 juta nilai rampasan sepanjang tujuh tahun Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilaksanakan sejak 2019.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kejayaan itu termasuk rampasan jerat haiwan, penahanan penceroboh hutan serta pelbagai aset lain yang diselamatkan demi memastikan kelestarian hutan dan biodiversiti negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, program itu melibatkan 89 siri operasi dengan penahanan seramai 904 warga tempatan dan 294 warga asing yang menceroboh kawasan hutan selain memusnahkan hampir 3,000 jerat haiwan.

"Sejak 2019 hingga hujung 2025, kita telah berjaya menangkap hampir 1,200 individu serta merampas pelbagai barang bernilai RM413.1 juta. Ini merupakan pencapaian besar yang bukan sahaja melindungi hutan negara, tetapi juga memberi peluang pekerjaan kepada komuniti kita.

Iklan

"Di Sabah sahaja, seramai 243 Renjer Komuniti telah dilantik dan ditempatkan di 18 pos rondaan merangkumi kawasan Keningau, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Tawau, Tenom dan Sipitang. Mereka memainkan peranan penting dalam rondaan, memasang kamera hutan dan memberi kesedaran kepada komuniti setempat," katanya semasa berucap pada majlis serahan watikah pelantikan Renjer Komuniti dan Flag-off OBK Peringkat Sabah Tahun 2026 di Dewan Terbuka Nabawan di sini pada Sabtu.

Arhur (dua dari kanan) diberi penerangan mengenai rampasan yang dilakukan oleh NRES dalam tempoh tujuh tahun.

Iklan

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kejayaan program tersebut membolehkan kerajaan memperluaskan usaha pemuliharaan, termasuk pengukuhan infrastruktur keselamatan dan penguatkuasaan di lapangan.

Beliau turut menekankan peranan wanita melalui pasukan SMART Analyst yang mengumpul data untuk mengenal pasti kawasan kerap dimasuki pencuri dan pemburu haram.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM80 juta dalam Belanjawan 2026 bagi melantik 2,500 Renjer Komuniti di seluruh negara, termasuk RM8.46 juta khusus untuk Sabah bagi 225 lantikan dengan 217 Renjer telah dilantik setakat ini.

"Selain itu, bantuan kewangan dan projek bersama badan antarabangsa turut dijalankan bagi memperkukuh perlindungan hidupan liar, termasuk pemuliharaan Banteng Borneo di Lembangan Maliau," katanya.

Beliau dalam pada itu turut ingin memastikan operasi perlindungan hutan menjadi luar biasa dan bukan sekadar kerja biasa.

"Ini termasuk menjadikan operasi ini salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari saya sebagai menteri supaya impaknya nyata kepada rakyat dan hutan negara.

"Selari dengan keluasan hutan yang bertambah di Sabah, kita akan menambah Renjer Komuniti khusus bagi kawasan Pagalungan dan Pensiangan seramai 15 orang, yang akan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

"Infrastruktur pos kawalan tetap juga sedang diperhalusi untuk memastikan kebajikan dan keselamatan petugas terjamin," katanya.