AMPANG JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berundur daripada usaha membersihkan negara daripada kegiatan rasuah dan penyelewengan.
Beliau berkata, tindakan tegas menangani isu yang berlarutan sekian lama itu menyebabkan kerajaan sentiasa berdepan dengan cabaran termasuk menerima kritikan daripada pelbagai pihak.
"Saudara ingat kita tidak tahu ada risiko, berapa ramai yang ditangkap itu pengaruhnya berapa ramai, panglima tentera, menteri, mantan menteri, pengurus-pengurus besar, Tun Tun, Tan Sri Tan Sri apa saya peduli.
"Yang saya peduli, mandat rakyat lakukan yang sebaiknya, bela nasib rakyat selamatkan negara ini," tegasnya ketika berucap pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini pada Sabtu.
Anwar berkata, sudah tiba masanya semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat menyokong segala bentuk usaha membanteras segala bentuk rompakan.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, beliau terbuka terhadap teguran dan kritikan selaras dengan prinsip demokrasi.
"Saya tidak kisah kalau orang hendak tegur dan kritik, negara ini negara demokrasi.
"Kita mahu bersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan perkauman, kalau betul kerja bersungguh-sungguh," katanya lagi.