IPOH - Anggaran seluas 724 hektar telah diwartakan sebagai kawasan perikanan khusus ternakan ikan dan udang menerusi pewartaan Zon Industri Akuakultur-Taman Kekal Pengeluaran Makanan (ZIA-TKPM) di Perak
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pewartaan itu merupakan langkah strategik untuk memastikan pengeluaran akuakultur secara besar-besaran, terkawal dan mampan.
Menurut beliau, Jabatan Perikanan negeri telah mengenal pasti kawasan pesisir pantai seperti di Lekir seluas sekitar 2,000 hektar yang akan diwartakan sebagai ZIA-TKPM bagi aktiviti ternakan kerang dalam usaha memperluaskan lagi kawasan perikanan.
"Selain itu, kawasan lain seperti di Bagan Datuk, Kerian dan Larut Matang sedang dalam peringkat perancangan pewartaan bagi ternakan kerang dengan tujuan meningkatkan pendapatan nelayan, membasmi kemiskinan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.
"Kawasan perikanan negeri ini juga melibatkan zon tangkapan laut yang diurus berdasarkan Dasar Perikanan Negara," katanya.
Mohd Zolkafly menjawab soalan lisan Zafarulazhan Zan (PN - Kampong Gajah) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Bagi perikanan darat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu berkata, perancangan pewartaan tambahan di kawasan bekas lombong sedang dipertimbangkan kerana potensinya yang besar dalam menyumbang kepada pengeluaran ikan air tawar.
Tambah beliau, semakan teknikal dan penilaian menyeluruh sedang dilakukan Jabatan Perikanan negeri bersama pejabat Daerah Perak Tengah dalam usaha mewartakan kawasan lombong di Sungai Galah, Kampung Gajah.
"Penilaian itu melibatkan aspek keselamatan, kesesuaian tapak termasuk kualiti air dan kapasiti stok ikan.
"Aspek kedua melihat potensi sosio ekonomi khusus dalam menjana pendapatan nelayan setempat serta impaknya terhadap alam sekitar dan komuniti sekitar," katanya lagi bagi menjawab soalan tambahan daripada Zafarulazhan.
Mohd Zolkafly berkata, hasil penilaian itu akan dijadikan asas cadangan pewartaan untuk dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajan Negeri, sekiranya kesemua syarat dipenuhi.
"Dari segi jangka masa, kerajaan negeri menjangkakan proses penilaian teknikal dan konsultasi awal ini dapat diselesaikan sebelum keptusan muktamad pewartaan dapat diumumkan.
"Ini selari dgn hasrat kerajaan negeri untuk memperluaskan kawasan pengeluaran sumber protein tempatan di samping menyediakan peluang ekonomi baharu kepada komuniti nelayan darat di sekitar Sungai Galah," katanya.