Dua kedai makan di Pulau Pinang disiasat isu video tular sijil halal

Iklan
Tangkap layar video yang tular di media sosial.

GEORGE TOWN - Dua premis makanan di medan selera pusat beli-belah terkenal di negeri ini disiasat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) susulan penularan video berkaitan penggunaan sijil halal.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, pemeriksaan dijalankan oleh anggota penguatkuasa cawangan Timur Laut pada Selasa dalam Operasi Bersama Pemeriksaan Berkaitan Video Tular Penggunaan Sijil Halal di dua buah pusat beli belah masing-masing di Jalan Gurney dan Bayan Lepas.

Iklan
Iklan

Jegan

“Ketika pemeriksaan di premis pertama iaitu pusat beli belah di Jalan Gurney, kita telah bertemu dengan penyelia medan selera berkenaan.

Iklan

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau representasi yang boleh mengelirukan pelanggan Islam ditemui di dalam premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya lagi, maklumat daripada pihak JHEAIPP mendapati video tular tersebut sebenarnya merujuk kepada premis makanan di sebuah pusat beli belah di Bayan Lepas yang telah diperiksa pada 7 Ogos lalu.

Iklan

"Susulan daripada itu, satu lagi pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan dan pihak penguatkuasa menemui seorang lelaki warga Myanmar yang merupakan pekerja di premis tersebut.

“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau perbuatan yang boleh memperdaya atau mengelirukan orang ramai bahawa makanan yang dijual adalah halal ditemui di premis berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua premis tersebut turut dinasihatkan supaya mematuhi semua peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.

'Operasi melibatkan tujuh anggota penguat kuasa KPDN dan pegawai JHEAIPP.

"Dalam operasi itu juga, dua Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) telah dikeluarkan," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai sijil halal premis makanan berasaskan nasi ayam yang diragui statusnya sehingga mencetuskan kebimbangan awam.

Dalam klip video selama satu minit 30 saat itu memaparkan seorang lelaki mempersoalkan tentang sijil halal yang dipaparkan di hadapan premis di dalam sebuah pusat beli belah di Bayan Lepas.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi dan komen warga net yang menyelar perbuatan pemilik premis makanan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.