Kerajaan kuat kuasa moratorium eksport REE lindungi sumber negara

Iklan
Kerajaan sudah menyediakan SOP perlombongan REE di negara ini yang diluluskan di peringkat Jemaah Menteri dan Majlis Mineral Negara. - gambar hiasan, gambar kecil: Johari

KUALA LUMPUR- Kerajaan mengambil pendekatan strategik dengan menguatkuasakan moratorium pengeksportan unsur nadir bumi (REE) mentah ketika ini bagi memastikan sumber negara itu tidak terus dieksploitasi tanpa nilai tambah.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu memaksa usaha yang giat dibuat sama ada membawa masuk teknologi pemprosesan dari luar atau membangunkan sendiri teknologi tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE di negara ini yang diluluskan di peringkat Jemaah Menteri dan Majlis Mineral Negara.

"SOP itu sudah diedarkan kepada semua kerajaan negeri pada Disember 2023 yang merangkumi aspek kawal selia aktiviti di peringkat praperlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan, termasuk keperluan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) serta kawalan pemulihan kawasan lombong.

Iklan

"Pelaksanaan projek perintis perlombongan REE di Mukim Kenering, Perak membuktikan SOP ini mampu mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti perlombongan jika dipatuhi dengan baik," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai usaha sedang dilakukan bagi mengeluarkan mineral kritikal seperti REE, termasuk daripada aspek pemprosesan dan pengeksportan bahan itu.

Iklan

Mengenai pemprosesan REE, Johari mmberitahu, negara ketika ini masih berdepan cabaran kerana ketiadaan loji pengasingan yang boleh memproses sumber tempatan itu untuk menghasilkan produk lebih bernilai tinggi.

Jelasnya, lawatan Presiden China, Xi Jinping pada April lalu membuka ruang kerjasama teknologi pemisahan dengan syarat membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, biarpun masih di peringkat awal, namun ia dilihat sebagai peluang mengurangkan kebergantungan kepada pengeksportan mentah serta meningkatkan reputasi negara sebagai hab pemprosesan REE serantau.

"Loji pemprosesan Lynas di Kuantan, Pahang akan dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan industri pertengahan dan hiliran REE negara.

"Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi juga melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan 'National Advanced Materials Technology Roadmap' (NAMTR) 2021–2030 dan penubuhan Konsortium Bahan Termaju Negara (NAMC).

"Ini bagi menyokong perkongsian pengetahuan, pembangunan teknologi dan kepakaran serta pembabitan pemain industri tempatan dalam rantaian industri REE,"ujarnya.